GUA MUSANG: Dua guru wanita, masing-masing dari suku kaum Semai dan Semelai berbangga apabila impian untuk mendidik Orang Asli tercapai selepas ditempatkan di sekolah luar bandar di daerah ini.
Walaupun berbeza suku kaum dan bahasa, itu tidak melunturkan semangat dua guru muda tersebut untuk berbakti kepada anak bangsanya yang tinggal di pedalaman.
Salvin Bah Alang, 30, merupakan Orang Asli suku kaum Semai dari Tapah, Perak dan berpengalaman mengajar murid Orang Asli suku Temiar lebih lima tahun lalu.
Sementara itu, Norazlina Juli, 27, merupakan Orang Asli suku kaum Semelai dari Bera, Pahang yang pertama kali ditempatkan di SK Kuala Betis sejak tiga tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Salvin berkata, walaupun berasa kekok perlu mengajar Orang Asli suku kaum Temiar, dia dapat menguasai bahasa masyarakat itu dalam tempoh singkat.
“Sebelum ini, saya bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar di Pos Balar selama lima tahun sebelum berpindah ke SK Kuala Betis sejak enam bulan lalu.
“Saya bersemangat untuk mengajar anak Orang Asli supaya mereka berjaya seperti saya dan guru Orang Asli lain,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, Norazlina pula berkata, guru yang ditugaskan di sekolah pedalaman dan mengajar Orang Asli tidak perlu risau, sebaliknya harus mengambil peluang itu sebagai cabaran.
Katanya, dia sangat bersyukur ditempatkan di daerah ini walaupun jauh dari kampung halaman.
Katanya, dia berharap dapat menjadi pendorong kepada murid suku kaum Orang Asli di pedalaman untuk lebih berjaya.
“Seramai 50 orang kanak-kanak Orang Asli ditempatkan di dua kelas prasekolah di sini serta mereka menunjukkan minat untuk belajar,’’ katanya. – UTUSAN










