FOKUS: Rakyat menanti pelantikan Mufti Perak - Utusan Malaysia

FOKUS: Rakyat menanti pelantikan Mufti Perak

ZAMRI Hashim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUJUNG bulan ini bakal genap setahun pemergian Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria yang meninggal dunia pada usia 82 tahun setelah menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh selepas disahkan positif Covid-19.

Pemergian Allahyarham pada tanggal 30 Mei 2021 masih dirasai, ramai yang masih bersedih apabila kehilangan ulama yang disanjung dan disayangi itu.

Selepas hampir setahun, semakin ramai yang tertanya-tanya siapakah individu yang akan menggantikan tempat Allahyarham untuk menerajui institusi fatwa dan pusat rujukan Islam yang serba lengkap.

Perlu diingat bahawa pelantikan Mufti adalah hak mutlak Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah seperti yang termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak.

Berkenaan pelantikan Mufti baharu, sebelum ini tular dalam media sosial pihak yang menolak pelantikan individu daripada aliran atau fahaman syiah, wahabi dan sebagainya sebagai Mufti Perak.

Selain nama yang dikaitkan itu, secara umumnya tidak kedengaran ada spekulasi yang jelas mengenai pelantikan mufti Perak yang baharu, semuanya menantikan keputusan baginda tuanku.

Dalam membicarakan soal pelantikan mufti baharu, tidak dapat dielakkan daripada menyebut nama Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim yang berkhidmat di bawah Allahyarham Harussani selama 24 tahun.

Zamri, 51, anak kelahiran Kampung Parit 1, Sungai Sumun, Bagan Datuk dan ramai yang melihat beliau pengganti yang selayaknya dari segi akademik dalam pendidikan dan pengalaman berkhidmat secara langsung dengan Allahyarham Harussani.

Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Al-Azhar, Mesir pengkhususan dalam tafsir al-Quran dan berkelulusan peringkat Sarjana (Master) dari Universiti Malaya (UM).

Zamri bermula dari bawah dalam Jabatan Mufti ketika Allahyarham Harussani memerlukan pegawai penyelidik Gred S3 untuk jawatan Istinbath iaitu pegawai penyelidik untuk membantu Mufti dalam urusan kerja, membuka kitab, membuat kertas kerja dan tugasan ilmiah mufti.

Tidak ramai yang memiliki kebolehan menguasai, membaca kitab Arab seperti yang dikehendaki Allahyarham ketika itu.

Akhirnya Zamri yang memiliki kebolehan yang diperlukan oleh Harussani melapor tugas di Jabatan Mufti Perak pada 1 Februari 1997 sehingga hari ini.

Namun tidak semestinya timbalan mufti dilantik sebagai mufti seperti di Selangor yang bekas Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar, pernah berkhidmat di bawah dua orang mufti, kerana pelantikan itu adalah kuasa mutlak dan atas kebijaksanaan Sultan.

Segala-galanya terserah kepada keputusan baginda tuanku untuk menentukan calon terbaik menggantikan Allahyarham Harussani dan sesiapa pun yang bakal dilantik sudah tentunya individu itu yang terbaik demi agama.

Pelantikan Mufti Perak yang baharu merupakan prerogatif Sultan Perak, sudah pasti Sultan Nazrin mengambil semua pandangan dan nasihat.

Semua pihak perlu menghormati prerogatif baginda dalam melantik Mufti Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN