Empat ditahan terbabit curi kabel elektrik

Empat ditahan terbabit curi kabel elektrik

A. Asmadi Abdul Aziz (dua dari kiri) menunjukkan barangan rampasan kabel pada sidang akhbar tangkapan kes curi kabel di IPD Putrajaya di sini, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Empat lelaki warga tempatan ditahan susulan kejadian mencuri kabel elektrik di pusat beli belah Alamanda, di sini pada 10 Mei lalu. 

Dalam kejadian itu, kesemua suspek berusia 23 hingga 31 tahun itu ditahan di tiga lokasi berasingan di Dengkil pada 12 Mei lalu. 

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, tiga suspek dikesan mencuri kabel berkenaan sekitar 9 pagi pada 10 Mei lalu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV). 

Beliau berkata, penahanan ketiga-tiga suspek kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi suspek yang juga anak seorang pemilik kedai barangan lusuh. 

“Ketika kejadian juga, seorang pegawal keselamatan mengaku terserempak dengan tiga suspek berkenaan dan mengenali salah seorang daripada mereka. “Siasatan mendapati, ketiga-tiga suspek turut menggunakan kereta sewa bagi mencuri kabel berkenaan bagi mengaburi mata polis,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Katanya, ketika ditahan, tiga daripada suspek masing-masing berasal dari Dengkil, Kajang dan Putrajaya didapati positif amphetamine dan methamphetamine selepas selepas ujian air kencing dilakukan.

Asmadi berkata, tiga daripada suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 15(1)(A),” katanya.

Katanya, ketika ditahan, pihaknya merampas pelbagai alat mencuri kabel seperti playar, pemotong wayar, pemotong besi, tukul, spanar, pemutar skru, wayar kabel bumi, pengikat kabel, resit jualan kabel.

“Dua daripada suspek dituduh di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan manakala, dua lagi suspek dijadikan sebagai saksi pendakwaan. 

“Kesemua suspek juga akan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas ini bagi membantu siasatan beberapa kes kecurian kabel di sana,” katanya. 

Katanya, kecurian kabel elektrik ini perlu dibanteras segera kerana dibimbangi ia akan menular ke pejabat-pejabat kerajaan yang mungkin boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN