ELMINA Ridge 2 di Bandar Elmina menambat hati pembeli rumah yang peka dan berwawasan apabila mencatat jualan sebanyak 90 peratus semasa prapelancaran bagi fasa 1 baru-baru ini.
Projek eksklusif oleh Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) itu dibangunkan berasaskan kejayaan Elmina Ridge 1 yang telah habis dijual sepenuhnya semasa pelancarannya tahun lalu.
Merangkumi 221 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM339 juta, projek ini dijadualkan siap pada tahun 2028.
Elmina Ridge 2 menyerlahkan komitmen jangka panjang Sime Darby Property dalam mentakrifkan semula kehidupan lestari dengan membina kediaman yang menggabungkan gaya hidup moden serta kesedaran terhadap alam sekitar.
Dibina di atas tanah pegangan bebas, pembangunan ini menampilkan koleksi kediaman premium yang terdiri daripada unit superlink (24’x70’), kluster (36’x70’) dan rumah berkembar (40’x80’).
Keluasan binaan bagi rumah-rumah ini adalah antara 2,274 hingga 3,288 kaki persegi, dengan harga bermula daripada RM1.21 juta bagi rumah superlink, RM1.76 juta untuk rumah kluster, dan RM2.22 juta bagi rumah berkembar.
Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Bandar Sime Darby Property, Appollo Leong berkata, Bandar Elmina kini telah mencapai tahap kematangan di mana pelbagai kemudahan komersial dan ciri gaya hidup tersedia secara meluas.
Katanya, Elmina Lakeside Mall dan Central Park sentiasa meriah dengan aktiviti serta acara sepanjang tahun, mewujudkan persekitaran yang hidup dan dinamik untuk komunitinya.
“Strategi ‘placemaking’ kami yang dirancang rapi, disertai dengan inovasi berterusan dalam rekaan rumah telah menyumbang kepada sambutan hebat terhadap projek seperti Elmina Ridge 2.
“Ini mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap rumah yang direka bentuk dengan baik, bersedia untuk masa depan dan menyokong kehidupan lestari.
“Pembeli hari ini mencari lebih daripada sekadar ruang. Mereka mahukan kualiti, kecekapan tenaga, rasa kebersamaan yang mencerminkan identiti mereka dan nilai jangka panjang daripada pemaju yang dipercayai,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, setiap rumah di Elmina Ridge 2 dilengkapi dengan panel solar, sistem penyimpanan tenaga bateri, kesiapsiagaan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV), dan penebat bumbung gentian kaca mineral untuk kecekapan tenaga.
Beberapa susun atur terpilih turut menampilkan rekaan yang mengutamakan unsur semula jadi, termasuk cahaya langit dalaman (indoor skylights) dan ruang tanaman (planter areas), yang membawa cahaya semula jadi dan kehijauan ke dalam rumah.
“Kunci digital untuk pintu utama memberikan elemen keselamatan moden, manakala panel bumbung telus membolehkan pencahayaan semula jadi maksimum sepanjang hari.
“Bagi menjamin keselesaan dan privasi, setiap bilik tidur direka dengan bilik air sendiri, menawarkan pengalaman hidup premium khusus untuk keluarga pelbagai generasi,” jelasnya.
Terletak secara strategik berhampiran kawasan matang seperti Denai Alam dan Bukit Subang, Elmina Ridge 2 turut menawarkan akses mudah ke sekolah-sekolah baharu di Hab Pendidikan, serta premis komersial seperti e-Boulevard, Temu dan Jumpa.
Elmina Ridge 2 juga menikmati akses mudah ke Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) melalui Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) serta sambungan terus akan datang ke Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) melalui presint Elmina Ridge, memastikan keterhubungan lancar ke destinasi utama di seluruh Lembah Klang dan seterusnya. – UTUSAN










