LONDON: Persaingan antara dua pemandu McLaren, Oscar Piastri dan Lando Norris dalam perebutan kejuaraan dunia Formula Satu (F1) musim ini dijangka semakin memuncak.
Kedua-dua pemandu itu kini berada di tangga teratas kedudukan keseluruhan dunia, mengatasi juara bertahan Max Verstappen, dengan McLaren terus mengamalkan dasar membenarkan mereka bersaing secara bebas.
Penganalisis F1, Billy Monger berkata, mereka kini bersaing dalam perebutan kejuaraan dunia dan kemenangan perlumbaan amat penting dalam konteks tersebut, lebih-lebih lagi apabila pasukan mereka juga sudah jauh di hadapan dalam kejuaraan pengeluar.
“Mereka sedang bersaing merebut kejuaraan dunia. Dalam kejuaraan pengeluar, mereka sudah jauh di hadapan. Kemenangan perlumbaan sangat berharga apabila anda sedang memburu gelaran dunia.
“Oscar kehilangan tujuh mata. Kita boleh lihat betapa peritnya kekalahan itu buatnya,” kata Monger.
Di Grand Prix Britain minggu lalu, Piastri terpaksa menyerahkan kejuaraan kepada Norris selepas dikenakan penalti 10 saat, satu keputusan yang dipertikaikannya dan mencetus rasa tidak puas hati.
Piastri turut meminta pasukan mempertimbangkan pertukaran kedudukan semula dengan Norris, namun permintaan itu tidak dilayan McLaren.
Bekas pelumba, David Coulthard turut memberi amaran bahawa situasi dalam pasukan McLaren akan memuncak jika tidak dikawal dengan baik sepanjang baki musim.
Ketua Pegawai Eksekutif McLaren, Zak Brown pula kekal dengan pendirian bahawa kedua-dua pemandu akan terus dibenarkan bersaing sesama sendiri secara bersih sehingga perlumbaan penutup musim di Abu Dhabi. – AGENSI/UTUSAN










