MANCHESTER: Penjaga gol Andre Onana tidak akan menyertai jelajah pramusim Manchester United ke Amerika Syarikat (AS) disebabkan kecederaan otot paha, menurut The Telegraph.
Laporan itu menyatakan pemain Cameroon tersebut mengalami kecederaan semasa sesi latihan di Carrington minggu ini dan berkemungkinan terpaksa berehat selama ‘enam hingga lapan minggu’ berdasarkan penilaian awal.
Akibatnya, dia akan terlepas jelajah ke AS yang akan datang dan berkemungkinan juga terlepas permulaan musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL).
United akan menentang Arsenal dalam perlawanan pembuka tirai musim di Old Trafford pada 17 Ogos ini.
Di sebalik dugaan itu, United perlu membuat keputusan sama ada mereka akan memasuki pasaran perpindahan untuk mendapatkan penjaga gol utama.
Seperti yang dilaporkan Januari lalu, ketua jurulatih Ruben Amorim mahu memperkukuhkan bahagian penjaga gol pada musim panas ini.
Difahamkan ketua jurulatih dari Portugal itu, yang akan menyaksikan perlawanan pramusim pertama United menentang Leeds United di Stockholm Sabtu ini, mahu mendapatkan seorang penjaga gol yang mampu mencabar dan bersaing dengan Onana bagi posisi penjaga gol utama.
Onana, yang telah menarik minat daripada AS Monaco pada musim panas ini, kembali ke Carrington untuk memulakan latihan pramusim dengan tanggapan dia akan terus menjadi penjaga gol utama kelab musim panas ini.
Altay Bayındır dijangka meninggalkan United pada jendela perpindahan ini selepas kelab memutuskan untuk mengekalkan Tom Heaton dengan kontrak baharu selama setahun bulan lalu.
Namun begitu, berita mengenai kecederaan otot paha yang dialami Onana mungkin akan melambatkan pemergian Bayındır dalam masa terdekat. – AGENSI/UTUSAN










