IPOH: Seorang juruterbang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi pelan penerbangan yang dikemukakan apabila membuat pendaratan pesawat di lokasi lain selain Aerodrome, Julai tahun lalu.
Datuk Mohamed Raffe K. Chekku, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.
Tertuduh didakwa telah melanggar kaedah-kaedah udara seperti yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Penerbangan Awam (Civil Aviation Directive 2 – Rules Of The Air) iaitu tidak mematuhi pelan penerbangan yang dikemukakan apabila membuat pendaratan pesawat jenis Bell 505, Nombor pendaftaran 9M-RCI di lokasi lain selain Aerodrome.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan Padang Ipoh, Jalan Tun Sambanthan antara pukul 9.50 hingga 10 pagi, 23 Julai 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Peraturan 77 (2), Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 206(3)(a) Peraturan yang sama.
Tertuduh boleh dipenjara tiga tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Jean Sharmila manakala Mohamed Raffe diwakili peguam Datuk Dr. Baljit Singh Sindhu.
Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan menetapkan 29 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Menerusi laporan akhbar 23 Julai tahun lalu, helikopter dikendalikan syarikat Systematic Aviation Services Sdn. Bhd. (SAS) itu mendarat di padang Ipoh bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja. – UTUSAN










