Dera: Polis panggil beberapa saksi termasuk jiran - Utusan Malaysia

Dera: Polis panggil beberapa saksi termasuk jiran

MIOR Faridalathrash Wahid (dua dari kanan) menyampaikan sijil pelantikan Ahli Jawatankuasa Perhubungan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Perak kepada penerima di Kelab Golf Diraja Perak, Ipoh di sini hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis akan memanggil beberapa saksi untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes dera dua beradik hingga menyebabkan kematian seorang daripada mereka di Taman Desa Pengkalan Bandaraya di sini, kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, antara saksi yang kemungkinan akan dipanggil ialah jiran kepada penjaga mangsa yang juga pasangan suami isteri berusia 40 tahun. 

“Kita akan panggil beberapa saksi yang terlibat mungkin jiran kerana suspek berniaga di hadapan rumah, jadi kita akan panggil saksi di sekeliling mereka untuk membantu keterangan yang ada.

“Buat masa sekarang, pasangan suami isteri itu masih direman dan kita sedang melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan pendakwaan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Ahli Jawatankuasa Perhubungan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Perak di Kelab Golf Diraja Perak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob dan Pengerusi MCPF Perak, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan. 

Mengulas lanjut, Mior Faridalathrash berkata, adik mangsa berusia enam tahun masih lagi dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Beliau memberitahu, dua beradik itu sebelum ini dijaga oleh keluarga di Lembah Klang selepas bapa mereka dijatuhi hukuman penjara bersabit kes dadah.

“Bagaimanapun, disebabkan penjaga sebelum ini mengalami strok selepas terkena serangan jantung, maka hak penjagaan sementara diserahkan kepada kedua-dua suspek,” katanya.

Menerusi laporan media semalam, perbuatan pasangan suami isteri itu terbongkar selepas pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB menemukan kesan kecederaan disyaki didera pada tubuh kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu.

Mangsa yang dihantar ke HRPB dengan menaiki ambulans disahkan meninggal dunia pada pukul 1.45 pagi.

Hasil bedah siasat yang dijalankan pakar patologi di Jabatan Forensik HRPB itu mendapati punca kematian mangsa akibat ‘multiple blunt injury’.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya