Buli: Doktor pakar dalam senarai nama 

Buli: Doktor pakar dalam senarai nama 

KHAIRY Jamaluddin hadir di Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lima pegawai perubatan yang didakwa sebagai ‘pembuli‘ di Hospital Pulau Pinang (HPP)  turut melibatkan doktor pakar, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

 Beliau mengesahkan sudah melihat nama tersebut yang sebelum ini diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) seterusnya, siasatan dijalankan berhubung tuduhan itu. 

“Apa yang kita lihat sekarang ialah aduan dibuat. Ada nama telah dihantar kepada saya ialah peringkat pakar. Bukan senang kita pindahkan, jadi buat masa ini, semua bertugas seperti biasa cuma siasatan berjalan,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Jururawat Antarabangsa di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan berhubung tuduhan itu dijalankan oleh Unit Integriti KKM dan pasukan petugas khas bebas yang akan diumumkan esok. 

“Unit integriti kita iaitu siasatan tatatertib biasa dan setelah siasatan dibuat secara sepenuhnya, maka laporan akan diberi tentang tuduhan tersebut. Sekarang ini kita menerima banyak aduan dan tuduhan, nama doktor dan pakar yang kononnya atau yang dikatakan membuli doktor junior. 

“Jadi untuk keadilan kepada semua pihak, ia mesti melalui proses telus yang akan dikemukakan kepada saya nanti. Itu adalah proses dalaman biasa kita laksanakan. 

“Selain itu seperti saya umumkan sebelum ini, satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan dan mereka juga akan melihat aduan-aduan tersebut. Bukan saya mempengerusikannya (pasukan petugas khas) dan esok saya akan umumkan sebab ia melibatkan terma,” ujarnya. 

Ditanya jangka masa siasatan, beliau berkata, kebiasaannya aduan mengambil masa beberapa minggu kerana melibatkan tuduhan berat iaitu buli dan budaya kerja tidak profesional.

“Jadi akan melibatkan sesi temu bual dengan pengadu serta pakar yang telah dituduh sebagainya. Lebih baik kita beri sedikit masa supaya pasukan petugas ini dan unit integriti menjalankan siasatan dan kita akan tengok kedua-dua hasil siasatan tersebut sebelum tindakan diambil,” jelasnya. 

Mengulas lanjut, Khairy berkata, pihaknya mengambil serius semua tuduhan tersebut dan yang penting dapat menjalankan siasatan dengan adil dan telus untuk semua pihak. 

“Rakyat nak lihat dan sudah pasti pihak doktor muda nak lihat apa tindakan diambil jika didapati betul ia berlaku. Memang saya buat pendirian untuk tidak banyak bercakap dan mengeluarkan kenyataan sebab ramai ada pandangan berbeza. 

“Tuduhan kalau dibuat di media sosial…bukan saya meremehkan tuduhan ini tetapi apabila kita nak ambil tindakan, ia mestilah melalui siasatan yang betul serta tidak boleh media sosial sahaja. 

“Walaupun saya anggap tuduhan ini semua serius, sebagai menteri saya tak boleh ambil tindakan atas media sosial dan mesti melalui proses siasatan telus dan betul,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN