Bersatu Terengganu cuba mendahului parti - Hamzah

Bersatu Terengganu cuba mendahului parti – Hamzah

HAMZAH Zainudin beramah mesra bersama kakitangan Kementerian Dalam Negeri pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri kementerian itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu yang sudah mengumumkan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dianggap mendahului ibu pejabat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, setakat ini belum pun ada lagi persetujuan secara rasmi daripada pihak Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu sendiri.

“Sebenarnya memang tiada apa-apa persetujuan pun daripada pihak MPT dan sebab itu saya tidak mahu membangkitkan isu sebegini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri meraikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Aidilfitri Kementerian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Semalam, Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris mengumumkan sudah menyerahkan senarai nama calon parti tersebut untuk persediaan PRU-15.

Bahkan, beliau juga mengisytiharkan Bersatu negeri itu akan sedia bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) melibatkan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri dan dua kerusi Parlimen. 

Mengulas lanjut, Hamzah dalam nada tegas memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan perbincangan semula dengan pihak yang terlibat untuk mengelak berlaku pertindihan kerusi.

“Ini memang perkara biasa dialami semua parti dan kadang kala ada kepimpinan di peringkat negeri yang dilihat cuba mendahului keputusan ditetapkan oleh pihak ibu pejabat,” katanya. 

PRU-15 perlu diadakan paling lewat dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan secara automatik akhir Julai 2023 apabila tempoh lima tahun genap sidang Dewan Rakyat.

Ketika PRU-14 pada 2018 lalu, Barisan Nasional tewas mengejut kepada Pakatan Harapan namun blok itu tumbang pada 2020 susulan pengunduran Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya