Berhenti mengajar selepas diserang angin ahmar

Berhenti mengajar selepas diserang angin ahmar

KAMSIAH Khalil setia di sisi suaminya, Shahrudin Mustafa atau Atan yang diserang angin ahmar di rumah mereka di Taman Selesa Jaya, Kampung Parit Patah, Pontian, Johor. – UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Tugas sebagai seorang guru atau tenaga pengajar di sebuah institut memandu di sini bagai telah menemui noktah buat Shahrudin Mustafa, 55, setelah dia ditimpa penyakit angin ahmar.
Shahrudin atau lebih dikenali sebagai Atan mula mengalami sakit angin ahmar pada 11 April lalu yang menyebabkan tubuh di bahagian kiri tidak mampu bergerak diikuti serangan kedua sebulan kemudian.
Menurut isterinya, Kamsiah Khalil, 56, dia sekeluarga reda dengan ketentuan Allah apabila suaminya kini tidak lagi seperti sebelum ini yang aktif dengan tugas-tugas harian di sekolah memandu tempatnya mencari rezeki.
Katanya, serangan kali kedua pada 11 Mei, baru-baru ini menyebabkan bahagian kanan tubuhnya tidak mampu bergerak serta tidak dapat lagi bercakap melainkan hanya menggunakan kerdipan mata untuk berkomunikasi.
“Selepas meninggalkan kerjaya sebagai pemandu lori, suami saya bertugas sebagai tenaga pengajar di sebuah sekolah memandu di Kampung Parit Semerah dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.
“Bertugas sebagai pemandu lori membawa kelapa sawit dan makanan ayam menyebabkan kurang masa untuk bersama-sama keluarga pada waktu siang, jadi setelah anak-anak membesar dan tamat persekolahan, suami beralih kerjaya sekarang yang memasuki tahun ke-11,” katanya ketika ditemui di Taman Selesa Jaya, Kampung Parit Patah, semalam.
Tambah Kamsiah, sebelum mengalami sakit angin ahmar, kesihatan suaminya sudah semakin merosot dengan kerap mengalami sakit pinggang di samping beberapa penyakit lain yang dihidapinya.
Menurut Kamsiah, perkongsian hidupnya bersama Shahrudin, mereka dikurniakan empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan berusia 21 hingga 28 tahun.
“Anak sulung bekerja sebagai Pembantu Tadbir di Putrajaya, yang kedua jururawat di Hospital Kuala Lumpur, anak ketiga bekerja sebagai pemandu lori dan anak bongsu kini di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP),” jelasnya.
Tambah Kamsiah, suaminya kini hanya mampu menikmati bubur dengan menggunakan picagari selain perlu memakai lampin pakai buang memandangkan tidak mampu bergerak lagi selain mereka sedang berusaha mendapatkan bantuan Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso).- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN