Asia mampu tawar penyelesaian pelbagai isu sejagat - Utusan Malaysia

Asia mampu tawar penyelesaian pelbagai isu sejagat

ISMAIL Sabri Yaakob berucap pada Persidangan Antarabangsa Ke-27 Mengenai Masa Depan Asia di Tokyo hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menggariskan tiga teras utama bagi membolehkan Asia memainkan peranan dalam  menawarkan penyelesaian terhadap pelbagai isu sejagat.

Bercakap dalam Persidangan Antarabangsa Ke-27 Mengenai Masa Depan Asia di Tokyo hari ini, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, tiga teras itu adalah memperkasakan integrasi ekonomi serantau, mengukuhkan kerjasama dan mekanisme perundingan serta bermuafakat dalam menangani cabaran perubahan iklim. 

Perdana Menteri berkata, tiga teras tersebut adalah antara perkara yang boleh diberikan perhatian dalam menawarkan penyelesaian isu sejagat dan pada masa yang sama meningkatkan kerjasama pelbagai hala dalam kalangan negara Asia. 

“Sekarang bukannya masa untuk kita terus berbelah pendirian. Dunia sedang berdepan dengan pelbagai ancaman termasuk perubahan iklim yang memerlukan komitmen dan kerjasama serantau dan juga antarabangsa dalam usaha untuk menanganinya.

“Suka saya berkongsi, di Malaysia, kami mempunyai peribahasa yang mengatakan: “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” mencerminkan betapa pentingnya kita mewujudkan komitmen yang teguh terhadap kerjasama serantau dan antarabngsa. 

“Sebenarnya, kemelut yang melanda kita membawa hikmah supaya kita sama-sama belajar daripada pengalaman tersebut untuk mencari penyelesaian yang tuntas agar terus maju ke hadapan.

“Walaupun begitu, sebarang penyelesaian yang mahu dicari tidak seharusnya hanya menguntungkan satu pihak tetapi melibatkan semua,” katanya dalam penampilan sulung beliau pada persidangan tahunan itu yang bertemakan ‘Mentakrif Semula Peranan Asia Dalam Dunia Yang Berbelah Pendirian’, tahun ini.

Bagi memperkasakan integrasi ekonomi serantau, Ismail Sabri berkata, perkara utama adalah dengan menumpukan kepada usaha mengukuhkan kemampuan rantau Asia dalam menangani perubahan di peringkat globalisasi selepas pasca pandemik. 

Ketika globalisasi kini dalam kemerosotan, beliau berpendapat, penting sekali bagi para pembuat dasar dan juga pemimpin perniagaan di Asia meningkatkan lagi usaha mengukuhkan kerjasama serantau dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha perlu dilakukan untuk menjadikan rantaian bekalan serantau lebih berdaya tahan menerusi sokongan pelaburan infrastruktur digital dan memudah cara usaha untuk membangunkan kapasiti ke arah meningkatkan rantaian bekalan tempatan.

Selain itu, katanya, para pembuat dasar di Asia seharusnya menggandakan usaha bagi meningkatkan kemampuan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan dan pembangunan ekonomi rantau ini.

“Asia sememangnya berada pada kedudukan yang baik kerana menguasai pasaran e-perdagangan terbesar di dunia. Ia mewakili 57 peratus atau AS$1.1 trilion daripada nilai jualan e-perdagangan dunia pada 2019. Angka peratusan itu dijangka mencecah 61 peratus atau AS$1.9 trilion menjelang 2024.

“Prospek pertumbuhan ini memberikan peluang besar kepada PMKS untuk mendapat akses kepada pasaran baharu dan mengeksploitasi pelbagai cara baharu bagi memastikan produk mereka terus berdaya saing dalam pasaran.

“Bagi menjayakannya, pembuat dasar sama ada dalam sektor swasta atau awam perlu bekerjasama membina jaringan logistik yang mantap, membina infrastruktur pasaran digital berkaitan kewangan dalam rantaian bekalan dan mempromosikan pembangunan teknologi digital inovatif yang dapat memberi kelebihan kepada PMKS dalam meningkatkan penyertaan mereka melalui aktiviti e-perdagangan rentas sempadan,” ujar beliau. 

Bagi mengukuhkan kerjasama dan mekanisme perundingan, Ismail Sabri berkata, perkara teras itu menjurus kepada kepentingan mengukuhkan kerjasama dan mekanisme perundingan apabila Asia bertindak melakarkan strateginya dalam dunia penuh persaingan dan berbelah pendirian. 

Di tengah-tengah perbezaan yang berlaku di dunia ini, beliau berpendapat adalah sangat penting rantau ini menjadikan kerjasama dan perundingan serantau sebagai nilai dan prinsip asas mereka.

“Kami mengiktiraf perundingan sebagai penting sama ada di peringkat Asia Tenggara atau pun Malaysia bagi mencari penyelesaian kepada cabaran bersama atau pertikaian.

“Ini dilakukan melalui mekanisme ASEAN seperti Forum Serantau ASEAN, mesyuarat ASEAN + 3, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN +. 

“Platform-platform ini yang kekal aktif membuktikan konsep musyawarah boleh dilakukan antara pemimpin dan pemegang taruh bagi keselamatan dan keamanan serantau,” katanya. 

Melihat di luar ruang lingkup ASEAN, Ismail Sabri percaya Asia perlu juga memberikan perhatian dan sumber lebih besar dalam proses kerjasama ekonomi seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Beliau berkata, tiga pemacu ekonomi yang dikenali pasti dalam Wawasan APEC 2040 atau lebih tepat dikenali sebagai Wawasan Putrajaya 2040 telah membolehkan rantau Asia Pasifik menjadi lebih kukuh dalam norma baharu pasca pandemik. 

“Tiga pemacu ekonomi ini adalah perdagangan dan pelaburan; inovasi dan digitalisasi; dan pertumbuhan ekonomi yang kuat, seimbang, selamat, mampan dan inklusif.

“Dengan meneruskan kerjasama yang disandarkan kepada tiga pemacu ekonomi ini, pastinya kita boleh merealisasikan masyarakat Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang tahun 2040,” jelas beliau. 

Bagi bermuafakat dalam menangani cabaran perubahan iklim, Ismail Sabri berkata, perkara teras itu merupakan gesaan kepada Asia dan rakan kerjasama global untuk bersama-sama bertindak menangani cabaran perubahan iklim.

Katanya, ini kerana Asia terutamanya Asia Tenggara merupakan kawasan paling terdedah kepada kesan perubahan iklim apabila lebih 57 juta penduduknya pada tahun 2021 menjadi mangsa bencana berkaitan perubahan iklim di rantau Asia Pasifik dengan keadaan itu dijangka bertambah. 

“Oleh itu, sudah tiba masanya, para pembuat dasar menerima hakikat dan mengakui perubahan iklim akan mengubah semula usaha yang dilakukan ke arah memelihara keamanan, kemakmuran dan keselamatan serantau. 

“Sejak lebih dua tahun lalu, dianggarkan enam juta orang di Asia Tenggara telah hilang tempat tinggal akibat banjir, ribut dan taufan. Peningkatan paras air laut menyebabkan ramai lagi akan kehilangan tempat tinggal selain menyebabkan kos memperbaiki infrastruktur melonjak,” katanya. 

Justeru, Ismail Sabri berkata, krisis perubahan iklim merupakan isu sejagat dan tiada negara yang mampu mengendalikannya secara bersendirian. 

“Bagi negara-negara membangun, ia sangat membimbangkan kerana kos dan juga kapasiti yang diperlukan untuk mendepaninya akan menghakis sumber untuk mencipta peluang ekonomi kepada rakyat,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya