AS perlu aktif dalam perdagangan, pelaburan ASEAN - PM - Utusan Malaysia

AS perlu aktif dalam perdagangan, pelaburan ASEAN – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amerika Syarikat (AS) digesa menggunakan pendekatan yang lebih aktif dalam soal perdagangan dan pelaburan antara negara-negara ASEAN.

Bercakap di Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di Washington, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, gesaan itu dibuat kerana AS adalah rakan kongsi penting bagi ASEAN yang menjadi pelabur langsung asing terbesar, malah, merupakan rakan dagangan kedua terbesar dunia dengan perdagangan dua hala bernilai AS$308.9 bilion pada 2020.

Beliau memberi contoh bagaimana Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dengan kerjasama China dilihat sebagai alat penting untuk merancakkan perniagaan dan aktiviti ekonomi di rantau ini.

Bukan itu sahaja, beliau juga menyifatkan, pandemik Covid-19 jelas menunjukkan pentingnya dagangan dan kerjasama antarabangsa serta jalinan rantaian bekalan serantau.

“Oleh itu, AS perlu mengamalkan agenda perdagangan dan pelaburan yang lebih aktif dengan ASEAN yang akan memanfaatkan AS dari segi ekonomi dan hubungan strategik,” katanya seperti dilaporkan Reuters.

Setakat ini, katanya, kira-kira 6,200 syarikat AS beroperasi di ASEAN, kebanyakannya menggunakan rantau Asia Tenggara sebagai platform pengeluaran untuk mengeksport di rantau ini dan di rantau lain.

“Untuk memajukan pertumbuhan mereka (syarikat AS), saya menggalakkan perniagaan-perniagaan AS untuk memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA).

“Dengan pasaran meliputi 15 negara terdiri daripada 2.3 bilion atau hampir satu pertiga daripada populasi global dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, ambillah kesempatan daripada peluang pelaburan yang luas ini,” katanya.

Pada sidang kemuncak maya dengan ASEAN Oktober lalu, Presiden AS, Joe Biden berkata, AS akan memulakan perbincangan mengenai Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) bagi mewujudkan lebih banyak kerjasama dengan rantau ASEAN.

Sebelum ini, bekas Presiden AS, Barack Obama memperkenalkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada Februari 2016 iaitu FTA bersama 12 negara Asia Pasifik yang turut melibatkan Malaysia.

Bagaimanapun, perjanjian itu tidak diratifikasi dan tidak dikuatkuasakan selepas Donald Trump membuat keputusan untuk menarik diri daripadanya pada 2017, sebaik sahaja beliau dilantik sebagai Presiden AS ketika itu.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN