HANOI: Atlet negara, Andre Anura Anuar mempunyai misi besar pada temasya Sukan SEA Kemboja tahun depan sejurus berjaya membutirkan pingat emas dalam acara lompat kijang di Hanoi, kelmarin.
Atlet kelahiran Sabah tersebut mengakui dia bertekad untuk mempertahankan pingat emas pada temasya dwitahunan di Kemboja selain mahu mengatasi rekod temasya yang dicatat seniornya, Muhammad Hakimi Ismail 16.77m pada Sukan SEA Kuala Lumpur (2017).
“Ini emas pertama saya di Sukan SEA dan pastinya ia adalah pencapaian terbaik dalam karier saya. Saya sangat gembira dengan kemenangan ini kerana saya berjaya mengatasi kekecewaan selepas gagal meraih pingat dalam acara lompat jauh.
“Saya tahu acara lompat kijang sangat teknikal dan walaupun saya kalah lompat jauh saya tahu kelebihan di lompat kijang mampu meraih emas buat Malaysia.
“Kemenangan tersebut sekali gus dapat mempertahankan pingat emas diraih atlet senior saya iaitu Hakimi Ismail.
Pastinya saya mempertahankan emas di Kemboja nanti dan dalam masa ini saya akan bekerja lebih keras dengan harapan dapat mengatasi rekod Hakimi nanti,” katanya, kelmarin.
Kejayaan itu, menjadi pengubat kepada kecewaan atlet kelahiran Sabah tersebut selepas gagal membutirkan emas dalam acara kegemarannya, lompat jauh apabila enam lompatannya dibatalkan.
Namun, Andre bangkit melengkapkan sasaran emas kelima buat skuad olahraga negara dengan melakukan 16.51 meter (m) sekali gus mengatasi catatan terbaik peribadi 16.09m dilakukan di Terbuka Malaysia Mac lepas. – UTUSAN










