ALOR SETAR: Seramai 720 jemaah dari Kedah menyertai Kursus Perdana Haji 2022 yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) di Masjid Zahir di sini, hari ini.
Kursus itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama,, Pendidikan dan Sumber Manusia, Datuk Najmi Ahmad yang mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Muhammad Sanusi Md. Nor.
Menurut Najmi, pihaknya mengucapkan tahniah kepada jemaah yang terpilih untuk pergi ke tanah suci pada kali ini selepas dua tahun ditangguhkan akibat wabak Covid-19 yang lalu.
“Para jemaah harus mengikut segala peraturan yang diberi oleh Tabung Haji kerana segala arahan itu adalah datang dari kerajaan Arab Saudi. Jika ada sebarang masalah para jemaah harus berbincang dengan pihak Tabung Haji.
“Masalah ini akan timbul terutamanya ketika peralihan daripada fasa pandemik kepada endemik sekarang, pasti ada peraturan baharu yang perlu dilaksanakan .Oleh itu, saya berharap semua jemaah dapat mengikuti arahan yang diberi supaya memudahkan mereka untuk melaksanakan haji pada kali ini,” ujarnya.
Dalam majlis itu juga, beliau turut menasihatkan jemaah supaya dapat menjaga kesihatan bermula dari sekarang. Ini adalah bertujuan supaya jemaah tidak mudah dijangkiti sebarang penyakit terutamanya dalam situasi wabak yang masih belum pulih sepenuhnya.
‘Saya berharap dengan kursus pada hari ini, jemaah dapatlah mempraktikan sebaik-baiknya semua yang telah dipelajari semasa menghadiri kursus haji sebelum ini. Kursus yang dianjurkan oleh Tabung Haji ini diharap dapat membantu jemaah semasa berada di tanah suci nanti,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Said Nasir Hashim,45, dari Sungai Petani berkata, beliau dan isterinya, Salmiah Hassan,45, tidak menyangka menjadi tetamu Allah pada kali ini.
Katanya, beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Tabung Haji kerana memilihnya selepas mengikuti kursus selama dua tahun .
“Saya dan isteri sengaja mengikuti dua kali kursus haji sebagai persiapan untuk kami ke tanah suci supaya dapat memahami sepenuhnya seperti yang dipraktikan. Ini adalah bertujuan supaya kami tidak keliru semasa melakukan ibadah di tanah suci nanti.
“Bagaimanapun, impian selama ini untuk ke tanah suci dalam usia yang muda ini akhirnya tercapai . Setiap kali selepas solat fardu, saya sering berdoa kerana dengan tenaga muda ini dapatlah saya melakukannya dengan lebih baik terutamanya semasa melontar jamrah yang memerlukan tenaga,” ujar bapa kepada tiga anak itu.
Bagi Azmi Hassan,60, dari Sik pula berkata, dia dan isterinya,Hashimah Daud,58, turut tidak menyangka menjadi tetamu Allah pada kali ini.
Katanya, beliau tidak menyangka kerana selepas dua tahun. para jemaah tidak dapat menunaikannya, sudah pasti peluang untuknya sangat tipis untuk ke sana.
“Bagaimanapun, semua ini adalah ketentuan Allah. Saya sangat bersyukur dan diharap dapat melakukannya dengan terbaik selepas mempunyai pengalaman melakukan umrah pada 2018 lalu,” katanya.-UTUSAN ONLINE










