PETALING JAYA: Sebanyak 338,926 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat 18 dilancarkan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 252,375 membabitkan enam kesalahan utama iaitu pelanggaran lampu isyarat, penggunaan alat telekomunikasi, memotong, memandu di lorong kecemasan dan melebihi had laju.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, jumlah saman dikeluarkan pada 0p Selamat 18 yang meningkat sehingga 51 peratus berbanding Op Selamat 15 pada 2019 iaitu 223,449 notis.
Katanya, hampir 95 peratus saman dikeluarkan melibatkan melebihi had laju iaitu 240,421 saman diikuti melanggar lampu isyarat (4,375); memotong (3,582); menggunakan telefon bimbit (1,991); memotong garisan berkembar (1,202) dan memandu di lorong kecemasan iaitu 804 notis.
“Dalam tempoh sama 15,947 kemalangan membabitkan 20,731 kenderaan direkodkan berlaku di jalan dan lebuh raya di seluruh negara.
“Selain itu, sebanyak 160 kemalangan maut membabitkan 166 kematian, 192 cedera parah dan 536 kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam pada itu, menurut Razarudin, penunggang dan pembonceng motosikal menjadi penyumbang kematian tertinggi iaitu sebanyak 108 kes diikuti dengan 40 kematian membabitkan pemandu dan penumpang kereta, 10 pejalan kaki, tiga pemandu jip, dua berbasikal dan seorang pemandu teksi.
Ujar Razarudin, sebanyak 15,947 kemalangan membabitkan 6,240 kes di jalan bandar; jalan persekutuan (3,433); jalan negeri (3,168); lebuh raya (1,691) dan lain-lain (1,415).
“Pada hari ke-10 Op Selamat 18, sebanyak 1,411 kemalangan dicatatkan manakala 41,482 saman dikeluarkan terhadap pesalah jalan raya.
“Ini menjadikan jumlah saman setakat ini dalam tempoh 10 hari iaitu 338,296 kompaun termasuk 32,136 terhadap penunggang motosikal,” ujarnya. – UTUSAN










