PETALING JAYA: Kerajaan didesak mewujudkan sebuah lembaga khas bagi mengawal dan menyelia industri unggas di negara ini jika mahu isu penguasaan kartel dalam perusahaan tersebut diselesaikan.
Penubuhan badan dengan melibatkan pelbagai kementerian dalam sektor makanan negara itu penting supaya langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi menstabilkan harga ayam dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Kerajaan sebelum ini telah menyuntik subsidi berjumlah RM528.52 juta untuk menstabilkan harga ayam, namun usaha tersebut masih gagal menurunkan harga di pasaran, sebaliknya penternak dan pembekal terus bermain dengan isu lain berkaitan kos ternakan yang dikatakan meningkat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Nafas Food Processing and Marketing Sdn. Bhd., Shafiqurrahman Shamsuddin berkata, langkah mewujudkan sebuah lembaga perlu supaya industri tersebut dapat dipantau secara berintegrasi.
“Ketiadaan sebarang lembaga bagi menyelia industri bernilai RM10 bilion setahun itu mengakibatkan kerajaan terpaksa berdepan masalah kenaikan harga yang tidak selesai,” katanya di sini, semalam.
Akhbar ini kelmarin melaporkan tentang wujudnya kartel ayam yang bermaharajalela mengawal industri itu lebih-lebih lagi dengan adanya campur tangan politik.
Shafiqurrahman berkata, ketiadaan satu badan khas untuk mengawal selia industri ternakan menyebabkan beberapa polisi yang diambil kerajaan masih tidak berjaya mengawal harga ternakan di pasaran.
“Sejak Januari hingga Mac lalu, kerajaan melaksanakan tiga polisi untuk kawal harga ayam. Pertama, pada Januari kerajaan keluarkan kelulusan import (AP) kepada 32 syarikat untuk bawa masuk ayam sejuk beku namun malangnya ia tak dapat turunkan harga ayam.
“Pada Februari kerajaan keluarkan pula empat AP import kepada empat pasar raya besar, dan menyalurkan subsidi 60 sen sekilo kepada penternak. Sekali lagi, ia turut menemui kegagalan untuk menurunkan harga ayam.
Katanya, setiap hari negara memerlukan 2.2 juta ekor ayam dan ketiadaan lembaga khusus mengakibatkan beberapa syarikat besar ‘berkuasa’ menentukan jumlah anak ayam yang mahu dikeluarkan tanpa dipantau dan diaudit kerajaan.
“Oleh sebab tiada lembaga yang kawal selia industri, maka syarikat-syarikat pengeluar anak ayam berkuasa menentukan berapa anak ayam yang mahu dikeluarkan. Jika terlebih, mereka akan bakar anak ayam supaya kurang bekalan dan harga sentiasa kompetitif bagi mereka.
Menurutnya, oleh kerana tiada sebarang sistem rekod untuk kerajaan menyemak pengeluaran anak ayam baka, hal itu mendorong berlakunya keputusan bekalan yang tidak dapat diselia secara berpusat oleh kerajaan.
Jika diwujudkan, lembaga itu juga akan turut memantau ternakan itik dan burung puyuh.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR) Nordin Mat berkata, kewujudan lembaga khas dapat menghapuskan amalan ‘kroni’ dalam kalangan penternak dan peniaga.
“Wajib diadakan lembaga ini untuk memantau kartel yang suka hati meletak harga anak ayam,” katanya.
Dalam pada itu, Pertubuhan Gerak Tani Malaysia meminta kerajaan tidak tunduk kepada kartel sehingga menyebabkan harga ayam dinaikkan begitu sahaja tanpa berdepan dengan sebarang tindakan.
Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman menyifatkan, kartel t memonopoli pasaran kerana tiada pelan khusus dalam memastikan tidak ada pihak yang boleh menguasai pasaran sehingga menjejaskan harga dan pesaing lain.
“Dasar keselamatan makanan negara telah sedia ada dan dipinda dari masa ke semasa namun mekanismenya begitu lemah,” katanya.
Namun, katanya, penguasaan kartel boleh diatasi dengan memperluaskan peranan syarikat milk kerajaan (GLC) dan sebuah lembaga khas.
“FGV, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Petronas dan lain-lain yang mempunyai modal besar mesti terlibat membina kilang makanan ternakan bagi mengelakkan kebergantungan import,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga meminta peranan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dikaji semula kerana dianggap tidak mampu menangani industri ayam dan ruminan yang saiznya begitu besar.
“Struktur jabatan harus diperkasa kepada agensi yang besar dan peranan atau kebertanggungjawaban yang selaras dengan kepentingan industri ayam dan ruminan,” katanya.
Sementara itu di SEREMBAN, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan campur tangan politik dalam isu dominasi kartel terhadap industri ternakan ayam.
Menurutnya, siasatan yang dimulakan sejak beberapa bulan lalu itu turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ini bukan perkara mudah untuk disiasat, mesti diteliti secara terperinci barulah kita boleh pastikan.
“Tidak boleh terlalu cepat mengatakan ada kartel, mungkin ada, saya tidak menafikannya tetapi lebih elok, kita tunggu laporan MyCC nanti,” katanya kepada pemberita selepas program walkabout dan Pelancaran Program Jualan Malaysia Rancak Aidilfitri di AEON Mall, Nilai semalam. – UTUSAN










