SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berhasrat menjalinkan kerjasama dengan Kedutaan Arab Saudi termasuk meneroka ruang usahasama dengan Universiti Islam Madinah pada masa depan.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) USIM, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kerjasama tersebut termasuk melibatkan ibadat umrah dan haji.
“Ruang kerjasama ini memberi peluang pendedahan kepada USIM termasuk Universiti Islam Madinah yang menjadi institusi utama di sana. Pasti terdapat kebaikan dan sudut lain yang boleh dimanfaatkan dalam kerjasama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Perdana di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, USIM, Nilai, malam semalam.
Yang hadir sama, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dan Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Sheikh Abdul Rahman Rubaian.
Dalam majlis berkenaan, Kedutaan Arab Saudi turut menaja seramai 2,200 pelajar USIM dalam majlis berbuka puasa berkenaan.
“USIM juga mendapat kerjasama dengan pelbagai restoran makanan segera, hartawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengadakan jamuan berbuka puasa kepada pelajar dalam golongan golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
“Saya juga berharap kerjasama dengan pelbagai pihak ini dapat membantu universiti memberi juadah percuma kepada pelajar golongan B40 untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan ini,” katanya.
Pada majlis tersebut juga, pihak kedutaan Arab Saudi turut menghadiahkan sebuah naskah Quran Braille bagi kegunaan pelajar orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan dan Al-Quran kepada semua pelajar yang hadir. –UTUSAN ONLINE