KUALA KRAU: Proses pengambilan buruh warga asing secara dalam talian di www.fwcms.com.my dibuka kepada majikan tulen bagi mengelakkan lambakan buruh, diskriminasi dan kerenah pertukaran majikan di lapangan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said, berkata, majikan seperti Felda dan Felcra perlu berurusan terlebih dahulu dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan kelulusan tertakluk kepada keperluan kuota.
Menurutnya, selepas mendapat kelulusan kuota, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakukan proses tapisan keselamatan dan kebenaran masuk oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Kini, sudah ada syarikat tertentu yang telah memohon dan mendapat kelulusan kuota dan sedang dalam proses tapisan KDN dan kebenaran masuk oleh JIM,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau kepada pemberita pada majlis sumbangan kepada anak yatim dan penyerahan kurma kepada Ketua Isi Rumah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Tun Abdul Razak Jengka di Wisma Peneroka di sini hari ini.
Ismail berkata, pada ketika ini, tiada lagi ejen yang menguruskan kemasukan buruh sebaliknya majikan tulen perlu mengurus dan memohon sendiri secara dalam talian, tiada lagi permohonan secara manual.
Tegasnya, permohonan secara dalam talian antara strategi kerajaan bagi mengenal pasti jumlah buruh asing dan mengelak sebarang kelulusan yang tidak menepati kuota ditetapkan.
Menurutnya, berdasarkan statistik terkini, sebanyak 519,937 permohonan penggajian pekerja asing telah diterima sehingga 7 April lalu.
“Sejumlah 24,560 permohonan pekerja warga asing yang diterima akan diselesaikan sebelum 27 April ini,” katanya.
Beliau berharap isu kekurangan buruh tenaga asing khususnya di rancangan Felda dan Felcra dapat diatasi berdasarkan kepada jumlah permohonan oleh pelbagai majikan. –UTUSAN ONLINE