PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) masih mampu menanggung kenaikan kos haji tahun ini yang meningkat lebih RM25,000 dengan menstuktur semula perbelanjaan yang ditanggung sebelum ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Islam Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Noor Azman Ali berkata, perkara itu boleh disemak bagi mendapatkan kos mengerjakan haji yang lebih rendah.
“Struktur dan polisi perbelanjaan TH sebelum ini bergantung kepada peratusan kos yang ditanggung dan disubsidikan. Ini boleh disemak semula, kerana apabila struktur kos berubah, struktur subsidi juga berubah.
“Kalau distruktur semula, ia akan membantu TH mendapatkan kos yang lebih rendah dan pastinya dapat membantu mengurangkan beban yang akan ditanggung jemaah haji,” katanya.
Kos untuk jemaah Muassasah menunaikan ibadat haji pada tahun ini meningkat kepada lebih RM25,000 seorang ekoran kenaikan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan oleh Arab Saudi.
Noor Azman bagaimanapun mencadangkan supaya subsidi bersasar dilaksanakan kepada jemaah haji perlu mengikut pendapatan isi rumah.
“Subsidi bersasar ini sepatutnya dilaksanakan kerana kita sudah berada dalam situasi mendesak dan tidak ada pilihan, cuma kaedah perlu dilakukan dengan kiraan betul, spesifikasi kategori jemaah yang disasarkan perlu diperkemas dan diperjelaskan.
“Subsidi bersasar juga perlu bersifat lebih objektif, bukan dua kategori sahaja, mungkin empat atau lima kategori. Mungkin kategori satu dapat 30 peratus, kategori dua 50 peratus, kategori tiga 70 peratus atau kategori empat dapat 80 peratus. Lebih banyak kategori subsidi, lebih berkesan dan tujuan bersasar dapat dicapai dan memuaskan hati semua pihak,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang perubahan kepada polisi sebelum ini tidak boleh membebankan jemaah haji dan tidak menimbulkan rasa kurang senang terhadap pendeposit.
Kelmarin, Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman mengakui kos untuk jemaah Muassasah tahun ini akan meningkat 12 peratus kepada lebih RM25,000 untuk seorang, susulan peningkatan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.
Peningkatan 12 peratus itu mengambil kira peningkatan Cukai Tambah Nilai yang telah dinaikkan daripada lima peratus kepada 15 peratus dan beberapa caj perkhidmatan tambahan, tidak mengambil kira pelbagai peningkatan kos dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu dilaksanakan tahun ini.
Malah, katanya, kos haji meningkat saban tahun disebabkan faktor inflasi di Arab Saudi, pergerakan mata wang asing, pengenalan caj dan cukai baharu dan penambahbaikan perkhidmatan.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Syariah di United Overseas Bank (UOB) Malaysia Berhad, Dr. Ahmad Zakirullah Mohamed Shaarani yakin TH masih mampu menanggung kos haji, bersandarkan kepada keuntungan yang dicatatkan sejak dua tahun lalu iaitu keuntungan bersih RM1.22 bilion pada 2021 dan RM1.25 bilion pada 2020.
Katanya, tidak mustahil keuntungan lebih RM1 bilion dapat dicapai sekali lagi tahun ini sekali gus dapat membantu menampung kenaikan kos haji tahun ini. – UTUSAN










