BUKIT GANTANG: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan mengutamakan bakal jemaah yang telah disenaraikan pada tahun 2020 dan 2021 untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, kerajaan berharap akan mendapatkan keputusan mengenai kuota haji tahun ini dalam masa yang terdekat dan mengutamakan mereka yang telah disenaraikan nama pada tahun 2020 dan 2021.
“Setakat ini kita belum dapat lagi kuota haji dan kita memahami ini mungkin kerana tekanan yang sedang dihadapi oleh kerajaan Arab Saudi berikutan Covid-19.
“Tambahan pula negara itu juga baru sahaja membuka semula sempadan negara mereka dengan membenarkan Umrah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis sumbangan Ihya Ramadan kepada masjid, surau, Sekolah Agama Rakyat SAR persendirian dan rumah anak yatim bagi kawasan Parlimen Bukit Gantang di Changkat Jering di sini hari ini.
Menurut Idris, kehadiran jemaah yang melakukan Umrah di Mekah dan Madinah agak ramai dan mungkin itu merupakan ujian di lapangan oleh kerajaan Arab Saudi untuk menentukan kuota haji pada tahun ini.
“Kita harap mendapat kuota haji sebelum bulan Ramadan namun setakat ini kuota haji mana-mana negara pun belum diumumkan atau diputuskan lagi oleh kerajaan Arab Saudi.
“Kita berdoa pada Allah agar dipermudahkan urusan untuk mendapat keputusan tentang perkara itu bagi memudahkan kita untuk menyusun dan merangka pengurusan untuk menempah hotel, pengangkutan dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN