RUU: Ahli Parlimen senada, tetapi mahu perincian definisi

RUU: Ahli Parlimen senada, tetapi mahu perincian definisi

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Walaupun semua pemimpin parti dan ahli politik senada terhadap rancangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, ada dalam kalangan mereka mahu tafsiran undang-undang itu diteliti khususnya tentang definisi sebenar amalan lompat parti.

Malah ada ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam pembahasan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di Parlimen hari ini mencadangkan undang-undang Anti Lompat Parti perlu merangkumi senator atau ahli Dewan Negara di samping ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Misalnya Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu definisi undang-undang itu dikaji terperinci apabila membabitkan perbuatan melompat parti terpaksa dilakukan dalam keadaan dan sekiranya tiada satu parti mendapat majorti mudah selepas keputusan pilihan raya umum.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu kemudian berkata, keadaan itu bakal menyaksikan satu parti lain perlu menyertai pihak di dalam satu gabungan untuk membentuk kerajaan.

“Ini bukan satu cara lompat jika keputusan itu dibuat parti dan bukannya individu yang kemungkinan ditarik sebagai menteri dan sebagainya,” katanya yang menegaskan penggubalan RUU Anti Lompat Parti perlu dikaji lebih teliti oleh Jawatankuasa Pilihan Parlimen.

Selain itu, Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin membangkitkan persoalan berkenaan definisi wakil rakyat melompat parti sekiranya mereka dipecat atau meninggalkan parti kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan parti.

Beliau tidak bersetuju jika situasi itu boleh dianggap sebagai melompat parti dan perlu mengosongkan kerusi dengan serta-merta.

“Jika perkara ini diambil kira, undang-undang ini dianggap zalim apabila ada banyak sebab ahli dipecat atau meninggalkan parti antaranya menyatakan sesuatu yang hak dan partinya sudah lari daripada prinsip perjuangan sebenar,” kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Senada dengan Muhyiddin, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kuasa parti tidak boleh mengatasi undang-undang negara apabila seseorang wakil rakyat terpaksa mengosongkan kerusi kerana dipecat.

“Bagaimana pula dalam keadaan Yang di-Pertuan Agong melantik seorang wakil rakyat yang bukan ketua parti menjadi Perdana Menteri? Sekiranya ini berlaku, mungkin dia dipecat parti kerana tidak puas hati akan menyebabkan pilihan raya terpaksa diadakan kerana kekosongan berlaku,” soal Ketua Pemuda Pas itu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mencadangkan, definisi RUU Anti Lompat Parti wajar merangkumi anggota Dewan Negara yang dilantik Dewan Undangan Negeri (DUN).

Setiausaha Agung UMNO itu senada dengan pandangan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kerana perkara itu amat penting kerana anggota Senator yang dilantik mewakili parti-parti tertentu menerusi pengundian sewaktu sidang DUN.

Bagi Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pula mencadangkan mana-mana wakil rakyat yang didapati melompat parti tidak dibenarkan bertanding dalam mana-mana pilihan raya sama ada ada di peringkat Parlimen dan DUN dalam tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun.

Beliau menambah pindaan Perkara 10 dan Perkara 48 perlulah hanya membabitkan sekatan ahli Parlimen atau ADUN untuk menyertai parti dan bukannya melibatkan ahli parti biasa.

Dalam masa sama, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar RUU Antilompat Parti dapat dibentangkan Mei ini supaya pindaan Perkara 10 Perkara Persekutuan yang menjadi asas penggubalan undang-undang itu dapat dilakukan bersama.

“Saya harap jawatankuasa berkenaan akan segera bermesyuarat dan mencari kesepakatan supaya dapat dibentang, dibahas dan diluluskan secepat mungkin,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui episod lompat-melompat dalam kalangan wakil rakyat menjadi punca anak muda muak dan benci kepada politik setelah melihat perkara itu didorong akibat habuan kuasa dan wang.

Beliau memberitahu Langkah Sheraton yang membawa kejatuhan Pakatan Harapan (PH) berpunca sikap rakus ahli politik yang mementingkan diri sendiri sedangkan kerajaan sebelum ini dipilih di atas mandat rakyat.

Bagi Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook memberitahu, penggubalan RUU tersebut merupakan syarat utama Memorandum Persefahaman antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik.

Beliau menjelaskan, pemeteraian memorandum tersebut tidak bermakna pihaknya menggadaikan prinsip menyokong kerajaan sebaliknya untuk mencetuskan transformasi dalam sistem pentadbiran negara.

Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu ketidakstabilan kerajaan sebelum ini disebabkan oleh Langkah Sheraton yang menyaksikan ahli Parlimen melompat demi mempertahankan kedudukan pangkat dan jawatan.

“Kerajaan dibina melalui ‘Sheraton Move’ tak stabil. Tak lama perdana menteri berkuasa dan tukar PM baru (beberapa kali). Sekarang kalau kami mahu Perdana Menteri ini pun boleh ditukar. ‘If we want’. Kami tak mahu Kami dah buat perjanjian MoU. Jadi perdana menteri buat lah kebaikan untuk rakyat sehingga PRU akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN