fbpx

Ramadan di Malaysia dijangka genap 30 hari

GAMBARAN kedudukan anak bulan Syawal pada hari rukyah petang 1 Mei depan. - IHSAN HANAFIAH ABDUL RAZAK

PUTRAJAYA: Umat Islam di Malaysia dijangka berpuasa fardu Ramadan genap selama 30 hari susulan dijangka anak bulan Syawal tidak kelihatan ketika cerapan petang 1 Mei ini.

Demikian pandangan pakar falak syarie terkenal tanah air, Hanafiah Abdul Razak ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mendapatkan ulasannya mengenai tarikh 1 Syawal kali ini.

“Berdasarkan kiraan dengan merujuk kriteria baharu dilaksanakan negara ini mulai 9 Ogos 2021 lalu, maka anak bulan agak sukar dilihat pada senja hari rukyah 29 Ramadan,” katanya.

Jika hitungan itu diterima, masyarakat Islam di Malaysia akan berpuasa 30 hari buat tahun keempat berturut-turut dengan kali terakhir Ramadan cuma 29 hari pernah direkodkan pada 2018.

Kali ini pula, sambutan perayaan itu sekali gus bakal menjadi cuti hujung minggu paling lama bagi tahun ini kerana 1 Mei ialah Hari Pekerja pada Ahad digantikan kelepasan am pada Isnin.

Ini akan diikuti dua hari cuti Aidilfitri pada 3 dan 4 Mei yang masing-masing jatuh pada Selasa dan Rabu sekiranya anak bulan Syawal tidak kelihatan di 29 lokasi rukyah pada 1 Mei kelak.

Mengulas lanjut, Hanafiah yang juga panel pakar rujuk falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berkata, penetapan itu masih tertakluk pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

“Pada tarikh cerapan, hilal Syawal dijangka mengalami al-ijtima atau lahir pukul 4.31 pagi dengan diambil kiraan di lokasi Pulau Perak, Kedah iaitu titik paling barat di Malaysia,” katanya.

Matahari ujarnya, akan terbenam pukul 7.31 malam manakala bulan terbenam pukul 7.58 malam, sekali gus bulan muncul di ufuk iaitu kaki langit sebelah barat selama tempoh 27 minit.

Anak bulan bakal berada di atas ufuk dengan hitungan ketinggian lima darjah 19 minit, sementara kiraan jarak sudut lengkung dari pusat bulan ke matahari pula ialah lima darjah 25 minit.

Justeru, berdasarkan pengalaman beliau, agak sukar untuk kebolehnampakan anak bulan dengan mata kasar kerana kedudukannya dekat dan susah dilihat cahaya dari jasad hilal itu.

Hanafiah yang juga Imam Masjid Kota Iskandar di Iskandar Puteri, Johor Bahru, Johor turut memaklumkan bahawa kriteria baharu yang ditetapkan kali ini dipersetujui tiga negara jiran.

“Penentuan kaedah imkanur rukyah bagi penetapan awal bulan qamariah dalam takwim Hijri juga disepakati menteri agama dari Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura,” katanya.

Empat negara serantau itu menetapkan tinggi anak bulan ketika terbenam matahari tidak kurang 3 darjah dan jarak lengkung matahari ke pusat bulan tidak kurang 6 darjah 4 minit. –UTUSAN ONLINE

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!