SUNGAI PETANI: Sejak empat tahun lalu, ketibaan Aidilfitri amat meresahkan penduduk Islam di Kampung Sungkap Para, Bukit Selambau, di sini kerana mereka berhadapan dengan masalah gangguan bekalan air bersih.
Menurut seorang penduduk, Fatimah Ahmad, 56, dia mengalami kesukaran mengurus keluarganya sejak permulaan puasa lalu kerana masalah bekalan air bersih Syarikat Air Darul Aman (SADA) sering terputus.
“Selain berjaga pada waktu malam untuk menadah air, saya juga terpaksa membeli air bersih untuk memasak bagi persediaan berbuka puasa dan bersahur.
“Tiada lagi kemeriahan sambutan berpuasa dan Hari Raya Aidilfitri sejak empat tahun lalu buat kami penduduk beragama Islam di kampung ini,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut semalam.
Fatimah merupakan antara kira-kira 200 penduduk kampung berkenaan yang terpaksa mengharapkan bekalan air yang dihantar oleh SADA sebanyak dua hari sekali untuk menampung keperluan harian seperti mandi dan membasuh pakaian.
Untuk keperluan minuman dan memasak pula, penduduk terpaksa membeli air mineral di premis berdekatan.
Seorang lagi penduduk, Teoh Kim Hoe, 54, berkata, dia terpaksa membeli tong untuk menyimpan air yang dihantar SADA untuk kegunaan keluarganya.
Pada masa sama, katanya, dia juga menadah air hujan untuk menampung keperluan.
“Bagaimanapun, saya tetap membayar bil air pada setiap bulan bagi mengelakkan pemotongan walaupun tidak menerima bekalan air dengan sempurna,” ujarnya.
P. Ramachandran, 56, pula berkata, dia terpaksa berjaga lewat malam hingga ke awal pagi untuk menadah air kerana bekalan tidak sampai ke ke rumahnya kerana masalah tekanan air rendah pada waktu siang.
“Kami tidak pasti bila masalah gangguan bekalan air di kampung ini akan selesai memandangkan kami telah penat berhadapan dengan masalah ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi SADA, Zulazni Mohd. Noor memberitahu, pihaknya telah mengenal pasti antara masalah utama berlaku gangguan bekalan air di kampung itu ialah kerana kebocoran paip utama.
Katanya, sebanyak 34 lokasi dikenal pasti berlaku kebocoran paip bawah tanah dan masalah tersebut dalam tindakan SADA.
“Bagi meringankan beban penduduk pihaknya menghantar bekalan air dengan lebih kerap dan meletakkan tangki simpanan air yang boleh digunakan penduduk sepanjang masa,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE