Pemilihan UMNO enam bulan selepas setiap PRU

Pemilihan UMNO enam bulan selepas setiap PRU

UMNO rancang adakan pemilihan dalam 6 bulan selepas PRU.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: UMNO akan membuat pindaan Perlembagaan parti itu bagi membolehkan pemilihan parti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) dilaksanakan.

Ini bermakna jawatan tertinggi parti itu akan kekal disandang oleh pemimpin yang sama selama lima tahun mengikut tempoh maksimum bagi sebuah penggal Dewan Rakyat iaitu lima tahun jika ia tidak dibubarkan lebih awal.

Perlembagaan UMNO sebelum ini menetapkan tempoh pemilihan parti untuk semua peringkat perlu diadakan setiap tiga tahun sekali melainkan ia ditangguhkan tidak melebihi 18 bulan oleh Majlis Tertinggi (MT).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan UMNO, Datuk Adnan Seman berkata, perkara itu akan dilakukan menerusi Perhimpunan Agung UMNO Khas pada 14 Mei depan berdasarkan Fasal 30 Perlembagaan UMNO.

Menurut beliau, ia bagi melaksanakan keputusan sebulat suara usul pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 lalu yang menggesa pindaan Perlembagaan parti berhubung fasal pemilihan dilakukan dalam waktu yang sesuai dengan memaktubkan pemilihan parti diadakan dalam tempoh tersebut.

“Ini bagi memastikan seluruh kekuatan parti dapat digembelengkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum tanpa sebarang ancaman dan risiko perpecahan,” katanya di sini semalam.

Adnan berkata, antara fasal yang perlu dipinda adalah Fasal 9.3, 9.4, 10.16, 18.2 yang memperuntukkan antara lain pemilihan kepimpinan cawangan, bahagian dan MT mesti diadakan tiap-tiap tiga tahun sekali melainkan ia ditangguhkan tidak melebihi 18 bulan oleh MT.

Katanya, turut perlu dipinda adalah peraturan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri berkaitan hal tempoh tiga pemilihan dan yang berkaitan dengannya.

Pemilihan UMNO sebelum ini dijadual diadakan selewat-lewatnya Disember ini selepas ditangguh pada tahun lepas berikutan pandemik Covid-19.

Sementara itu, penganalisis politik berpendapat tindakan UMNO tersebut boleh menimbulkan konflik kepimpinan parti pada masa hadapan.

Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, malah ia boleh menyebabkan ahli UMNO terpaksa menunggu lama untuk menukar pimpinan parti.

Menurutnya, kebanyakan parti melaksanakan pemilihan atau peralihan kepemimpinan sebelum PRU berlangsung kerana mahu mengetengahkan muka baharu dalam barisan kepimpinan sekali gus bakal menjadi calon wakil rakyat dan Perdana Menteri.

Kata beliau, langkah itu juga memberi gambaran tidak baik kepada UMNO kerana rakyat melihat pimpinan lama bakal mencorakkan pentadbiran kerajaan sekiranya parti itu diberikan mandat dalam PRU.

“Malah sebelum ini, banyak transisi kepimpinan UMNO berlangsung sebelum pilihan raya. Kita boleh melihat peralihan Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Badawi sebelum PRU dan Pak Lah kemudian mengadakan pilihan raya tidak lama kemudian.

“Jika sebaliknya dan juga apabila UMNO menang pilihan raya, belum tentu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan berundur sebagai Presiden meskipun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicadangkan calon Perdana Menteri. Sudah pasti ini akan menimbul konflik kepada UMNO sendiri,” katanya.

Bagi Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin, mana-mana parti termasuk UMNO berhak dalam menentukan hala tuju mereka khususnya membabitkan keputusan mengadakan pemilihan parti selepas PRU.

Bagaimanapun kata beliau, UMNO perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa parti itu mengadakan keputusan tersebut bagi mengelakkan persepsi dalam kalangan masyarakat kepada mereka.

“Mungkin dalam soal ini, UMNO mempunyai percaturan agar strategi menang pilihan raya tidak terkesan dengan pemilihan parti.

“Namun pengundi setia UMNO perlu dijelaskan perkara ini supaya tidak timbul tanggapan buruk sekali gus menyukarkan kemenangan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN