Pemeteraian MoU PDI jimatkan kos pengambilan pekerja asing - Utusan Malaysia

Pemeteraian MoU PDI jimatkan kos pengambilan pekerja asing

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Memorandum Persefahaman berhubung Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (MOU PDI) adalah penambahbaikan MoU terdahulu sekali gus memberi kesan positif kepada kos pengambilan. 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, susulan kejayaan MOU itu yang ditandatangani Jumaat lalu, proses pengambilan PDI akan bermula tidak lama lagi.

Katanya, MOU kali ini memperkukuhkan struktur kos pengambilan PDI yang telah dipersetujui di mana ia merangkumi 15 komponen kos di Malaysia dan di Indonesia. 

“Seperti contoh komponen kos di Malaysia antaranya Deposit Keselamatan Imigresen, insurans, pemeriksaan kesihatan, levi, dan permit kerja manakala contoh komponen kos di Indonesia pula, seperti pasport, visa kerja, sijil kesihatan, sijil kompetensi, dan ujian psikologi. 

“Bagi siapa yang perlu tanggung kos, semua kos pengambilan PDI adalah di bawah tanggungan majikan selaras dengan garis panduan Fair Recruitment Initiative yang dikeluarkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Saravanan berkata, MOU kali ini hanya menggariskan komponen yang terlibat tanpa menetapkan kadar harga. 

Katanya, struktur kos ini akan dikaji setiap tiga bulan oleh Kumpulan Kerja Bersama (JWG) Malaysia-Indonesia bagi memastikan ia seiring dengan keperluan semasa mengambil kira perubahan kadar tambang pengangkutan dan kos ujian kesihatan.

“Pelbagai masalah timbul dalam pelaksanaan MOU terdahulu kerana struktur kos yang tetap dan terlampau rendah berbanding pasaran semasa yang menyebabkan majikan terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan khidmat PDI. 

“Bagaimanapun, perkara ini telah diatasi dalam MOU PDI baharu melalui kajian struktur kos setiap tiga bulan,” katanya. 

Beliau berkata, selain itu, majikan juga dijangka dapat menjimatkan kos pengambilan sebanyak RM2,000 hingga RM3,000. 

“Penjimatan itu kerana tiada lagi keperluan kuarantin untuk PDI melainkan mereka didapati positif semasa ujian saringan Covid-19 di Malaysia,” katanya. 

Jumaat lalu, pemeteraian MoU PDI ditandatangani Saravanan dan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah, serta disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Merdeka.

Ismail Sabri menyifatkan pemeteraian itu sebagai satu detik yang penting kerana ia adalah komitmen berterusan Malaysia dan Indonesia untuk memberi manfaat besar serta berpanjangan kepada rakyat kedua-dua negara

MoU ini akan memastikan segala proses pengambilan dan mekanisme perlindungan PDI akan dilaksanakan secara komprehensif oleh pihak-pihak yang berkaitan, mengikut dasar dan perundangan di kedua-dua negara.

Malaysia meratifikasi Protokol 29 ILO sebagai komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa untuk membanteras isu buruh paksa, termasuk memberi perlindungan kepada pekerja migran daripada Indonesia.

Malah, lima inisiatif diperkasakan dalam menjaga kebajikan pekerja dari sudut perlindungan sosial iaitu caruman melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan jaminan bayaran gaji melalui eWages iaitu bagi menjamin pembayaran gaji tidak lewat daripada hari ketujuh setiap bulan.

Pekerja juga diberikan cuti rehat satu hari seminggu, memperkenalkan aplikasi e-aduan yang membolehkan pekerja membuat sebarang aduan secara dalam talian dan lain-lain kebajikan yang termaktub dalam kontrak perkhidmatan. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya