LANGKAWI: Keindahan Ramadan turut dikongsi pelancong asing di pulau peranginan ini yang berpeluang merasai pengalaman berbuka puasa beramai-ramai bersama penduduk tempatan.
Mereka teruja apabila berpeluang mendekati masyarakat tempatan beragama Islam di pulau ini menjalani ibadah puasa semasa berbuka dan sahur.
Seorang pelancong dari Filipina, Jeffrey Aribon, 31, berkata, pengalaman berbuka puasa bersama penduduk tempatan beragama Islam ini merupakan kali pertama setelah menetap di Pulau Pinang selama hampir lima tahun.
Menurutnya, dia yang menyewa di rumah tamu, Langkawi Country Lodge di Pantai Chenang di sini kagum melihat pemiliknya bangun awal pagi menyediakan sajian untuk bersahur dan pada waktu petang menyediakan juadah berbuka puasa yang menyelerakan.
“Lebih menggembirakan saya juga dijemput menjamu selera apabila tiba waktu berbuka puasa. Pengalaman ini merupakan sesuatu yang berbeza berbanding ketika bercuti di pulau ini pada bulan-bulan lain,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pelancong dari United Kingdom, Emily King, 30, pula berkata, sebelum ini dia hanya mengetahui umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan namun tidak pernah melihat secara dekat umat Islam di sini menjalani ibadah tersebut.
Katanya, pengalaman berbuka puasa bersama penduduk tempatan di pulau ini mungkin tidak akan ditemui di negara lain.
“Saya sepatutnya berada di sini selama dua minggu sahaja, tetapi disebabkan pengalaman ini saya telah memanjangkan tempoh lawatan sehingga hari raya untuk melihat sendiri sambutan hari raya pula,” ujarnya.
Sementara itu, pemilik rumah tamu Langkawi Country Lodge, Norhayati Abdullah, 54, berkata, dia tidak ketinggalan mempelawa pelancong asing yang menginap di sini untuk bersama-sama berbuka puasa dan bersahur.
Katanya, pelancong asing itu didapati teruja untuk mengetahui budaya tersebut yang unik dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.
“Malah mereka juga turut membantu saya menyediakan juadah berbuka puasa dan bersahur seperti sebuah keluarga di rumah tamu ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE