MERSING: Pekebun di Kampung Air Papan, di sini merayu pihak berkaitan agar memindahkan gajah liar yang mengganggu tanaman sawit mereka sejak lebih setahun lalu, setelah tidak lagi dapat bertahan menanggung kerugian ketika harga komoditi itu kini sedang melonjak tinggi.
Mohd. Mesan, 72, berkata, dia yang bergantung sepenuhnya pendapatan dengan hasil sawit tidak berani untuk melakukan tanaman semula ekoran bimbang ia hanya sia-sia selagi haiwan liar itu yang dianggarkan sekitar 10 ekor tidak dipindahkan.
“Saya sudah usahakan kebun ini sejak lapan tahun lalu dan isu gajah ini berlaku sejak setahun lebih. Baru sahaja minggu lepas gajah masuk ke kebun yang kini sudah empat kali diserang gajah.
“Kami ada juga buat aduan kepada Perhilitan dan memang mereka membuat pemantauan tapi kami minta sangat agar bantulah kami, kami memang tidak berani untuk tanam semula kerana bimbang diserang lagi,” katanya ketika ditemui semalam.
Mohd. berkata, kebunnya seluas enam ekar itu kini hanya mampu mengeluarkan hasil sekitar dua tan sahaja sedangkan sebelum ini dia mampu mengeluarkan hasil sehingga empat ke lima tan.
Bagi Rohana Zakariah, 43, pula berkata, akibat serangan gajah liar itu bukan sahaja pokok sawitnya musnah bahkan jalan di kebunnya juga turut hancur.
“Tanah di kebun adalah tanah gambut jadi bila tanah basah, gajah masuk dalam kebun dengan berat badannya menyebabkan ia terbenam dan mengheret perut untuk bergerak menyebabkan jalan di kebun hancur.
“Tahun lepas sahaja sudah tiga kali kebun diserang dan anggaran kerugian lebih RM10,000. Jika tiada masalah di kebun saya boleh meraih pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan lebih-lebih lagi harga sawit sekarang sedang meningkat,” katanya.
Tambahnya, dia pernah terserempak dengan lebih 10 ekor gajah di kebunnya dan tidak berani untuk melakukan apa-apa demi keselamatan diri ketika itu.
Sementara itu, Presiden Ikatan Anak Mersing (IAM), Muhammad Syukri Ibrahim berkata, ini adalah kali pertama IAM dipanggil berkenaan aduan isu kampung di mana sebelum ini pertubuhan itu lebih banyak melaksanakan program kebajikan. –UTUSAN ONLINE