Parlimen perlu sidang khas bahas isu GLC, projek kerajaan

Parlimen perlu sidang khas bahas isu GLC, projek kerajaan

Pembangkang mengesyorkan kerajaan agar mengadakan sidang khas Parlimen bagi membahaskan isu-isu berkaitan GLC dan projek yang dilaksanakan. – GAMBAR JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parlimen wajar mengadakan satu sidang khas bagi membahaskan isu-isu yang dibangkitkan terhadap projek dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, kerajaan perlu bersikap terbuka dan memberi ruang kepada konsep semak dan imbang ke atas keputusan dan tindakan yang diambil.

Katanya, sidang khas itu membolehkan satu tindakan dibincang secara bersama sebelum kerajaan mengambil pendekatan susulan.

Namun, apa yang berlaku sebaliknya, menurut Guan Eng, kerajaan juga hanya dilihat lebih selesa mendiamkan diri sekiranya tidak terbuka terhadap gesaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membangkitkan beberapa persoalan mengenai projek-projek yang diadakan.

“Ini kerana kita tidak setuju umpamanya wang awam digunakan untuk menyelamatkan GLC yang bermasalah. Tak sepatutnya atas kegagalan pengurusan, maka kita gunakan wang awam.

“Kita selalu tengok ada syarikat gulung tikar, jadi mengapa GLC tak boleh gulung tikar sekiranya GLC itu yang bermasalah dan jika pengurusan itu buat salah, maka apa salahnya kita dakwa mereka.

“Jadi semua ini perlukan satu perbincangan dan proses semak imbang di Parlimen itulah platform yang sesuai. Rakyat juga kena tahu, kita nak mereka jawab dan kena usul periksa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar sebelum ini me­minta penjelasan berhubung beberapa projek nasional se­perti Projek Transit Aliran Massa (MRT), Digital Nasional Berhad (DNB), MySejahtera dan isu kewangan syarikat Sapura Energy BHD (Sapura).

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, isu-isu sebegitu tidak wajar dijadikan sekadar isu politik murahan untuk menggamit sokongan rakyat.

Malah, katanya, isu tersebut juga tidak perlu sekadar untuk menimbulkan kesangsian terhadap kerajaan di saat kerajaan dan pembangkang mempunyai perjanjian Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA).

“Tidak wajar ia dijadikan isu mencipta persepsi semata-mata. Namun, sekiranya ia bertujuan sebenar-benarnya mendapat penjelasan, bagi saya itu pandangan yang baik.

“Keluarga Malaysia adalah kerajaan yang telus dan bersedia untuk memakmurkan konsep semak dan imbang menerusi Parlimen,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN