Pak Man mahu raya di sisi keluarga

Pak Man mahu raya di sisi keluarga

ABD. RUAHMAN TALIB (kiri) ceria menerima baju raya yang akan dipakainya pada Aidilfitri di Rumah Sejahtera Batu Bertangkup, Padang Besar, Perlis, semalam. – UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Penghuni rumah perlindungan orang-orang tua, Abd. Ruahman Talib yang kisahnya disiarkan Utusan Malaysia sebelum ini, menyimpan hasrat besar untuk meraikan Aidilfitri bersama-sama cucu dan cicit sementara hayatnya masih ada.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Abd. Ruahman, 70, yang lebih mesra disapa sebagai Pak Man berkata, meskipun sudah bia­sa di rumah perlindungan tersebut, dia tetap mempunyai impian untuk menyambut hari raya bersama seperti keluarga lain.

“Secara jujur, saya seboleh­nya ingin melihat sendiri beberapa orang cucu dan cicit saya daripada keluarga anak perempuan saya itu. Setahu saya, ada seorang cucu saya yang tinggal di Pulau Langkawi mempunyai dua anak dan ada juga keinginan hendak menatap wajah cicit-cicit saya itu kerana tidak pernah sekalipun berjumpa mereka sepanjang hidup saya.

“Semua lima orang cucu dari keluarga anak perempuan baik-baik dan tentunya sangat gembira dan lebih bermakna jika saya boleh menyambut Hari Raya Aidilfitri di sini bersama mereka (rumah perlindungan orang tua),” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan kisah seorang warga emas yang sudah 12 tahun meraikan lebaran di rumah perlindungan orang tua.

Pak Man yang menetap di Rumah Sejahtera Batu Bertangkup di sini sejak Januari 2010, mengakui tetap merindui suasana berhari raya bersama insan-­insan tersayang.

Menurut Pak Man, hidupnya di pusat jagaan itu bermula selepas rumahnya di Kampung Belat Batu diambil Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi projek pembinaan landasan kereta api berkembar.

Katanya, selepas itu, dia menumpang di rumah anak lelakinya, namun hanya dalam tempoh dua bulan sebelum ke­luar menyebabkan dia tidak tahu arah untuk dituju.

Sementara itu, Pak Man berkata, jika diminta pulang beraya di rumah anak perempuannya, dia akan menolak kerana khuatir menyusahkan keluarga itu.

“Sebenarnya saya sangat bersyukur kerana anak perempuan saya mendapat jodoh suami yang baik dan mengambil berat keadaan saya walaupun saya tinggal di rumah jagaan ini.

“Cuma hati ini berat tinggal bersama dan biarlah mereka menguruskan keluarga sendiri kerana jika saya bersama, mungkin menjadi beban.

“Saya juga bersyukur dengan kehidupan di sini kerana kemudahan yang diterima sudah mencukupi selain mendapat layanan sangat baik daripada pihak penyelia pusat jagaan ini.” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN