‘MoU antara kerajaan dan PH, bukan UMNO’ - Utusan Malaysia

‘MoU antara kerajaan dan PH, bukan UMNO’

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO tidak boleh mencampuri urusan kedudukan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) khususnya melibatkan tarikh perjanjian itu yang bakal berakhir pada 31 Julai ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, secara amnya MoU itu hanya melibatkan antara pihaknya bersama kerajaan dan bukannya antara parti-parti politik mendokong kerajaan.

Oleh itu, menurut beliau, kedudukan tarikh sama ada disambung atau sebaliknya bergantung kepada perbincangan lanjut antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kepimpinan PH.

“Lagipun terkandung dalam isi kandungan MoU yang menyatakan pelaksanaannya perlulah dilaksanakan sebelum 31 Julai tetapi ia boleh disambung selepas tarikh ini.

“Bagaimanapun, setakat ini, tiada perbincangan lanjut untuk menyambung MoU selepas 31 Julai. Hal ini kerana dalam perkara ini, kita akan fikir kemudian kerana yang penting adalah untuk melaksanakan segala kandungan MoU,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan UMNO kelmarin yang memutuskan MoU antara Kerajaan dan PH yang berakhir 31 Julai tidak akan diteruskan lagi selepas tarikh tersebut.

Perkara itu ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semalam yang juga sebulat suara mencadangkan agar Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dalam pada itu, Fahmi menjelaskan, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan calon tunggal Perdana Menteri mewakili PH selepas Ismail Sabri disebut calon untuk jawatan itu daripada UMNO.

Katanya, tiada nama lain diketengahkan PH sekali gus Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan merupakan satu-satu nama bakal diangkat mengetuai kerajaan Pusat seandainya berjaya memenangi pilihan raya umum.

Mengenai khemah besar pembangkang, Fahmi memberitahu, setakat ini kerjasama PH hanya melibatkan empat parti komponennya iaitu PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO).

“Selain itu tiada. Jadi setakat empat parti ini sahajalah khemah PH, yang lain belum ada lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN