SEREMBAN: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah memperoleh kutipan dana wakaf keseluruhan berjumlah RM2.99 juta pada tahun lalu.
Pengerusi MAINS, Datuk Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab. Kadir berkata, dana wakaf yang disumbangkan itu akan diagihkan kepada empat sektor utama iaitu kesihatan, pendidikan, sosioekonomi dan pengembangan harta wakaf.
“Antara manfaat wakaf yang telah disalurkan oleh MAINS meliputi pembelian mesin hemodialisis, pembinaan pusat tahfiz dan madrasah, pembelian peralatan perubatan kepada Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta pembelian komputer bagi kegunaan pelajar sekolah di Negeri Sembilan.
“Kami telah agihkan lapan unit mesin hemodialisis kepada Hospital Tuanku Ja’afar yang boleh memanfaatkan lebih kurang 390,000 pesakit bukan sahaja yang beragama Islam tetapi bukan Islam hasil daripada wakaf tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Negeri Sembilan 2022 di sini hari ini.
Majlis yang bertemakan ‘Wakaf Membentuk Ummah Bertakwa’ itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menurut Abdul Aziz, MAINS berperanan membudayakan semula amalan wakaf selain menggalakkan pengurusan wakaf yang lebih bersistematik dan produktif untuk kepentingan agama dan pembangunan ummah di negeri ini.
“Dengan dana wakaf juga, beberapa projek kini dalam pembinaan meliputi projek Masjid Wakaf Taman Politeknik melibatkan kos RM3.5 juta, pembinaan Pusat Hemodialisis Wakaf An-Nur, Rembau bernilai RM900,000 dan pembinaan Sekolah Menengah Seri Islam, Seremban,” katanya.
Jelas beliau, pelbagai produk yang berasaskan wakaf telah diperkenalkan oleh MAINS antaranya Wakaf Tunai dan Wakaf Harta.
“Wakaf boleh dibayar secara tunai atau melalui perbankan dalam talian serendah RM1 dan boleh juga dibuat melalui potongan gaji serendah RM5 sebulan bagi semua kakitangan kerajaan dan swasta,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata, kempen wakaf tunai penjawat awam yang disumbangkan melalui potongan gaji akan diteruskan demi manfaat pembangunan ummah selepas ia diperkenalkan tahun lalu.
“Kami memang amat menggalakkan supaya setiap penjawat awam menyumbang secara bulanan kepada institusi wakaf,” katanya. –UTUSAN ONLINE










