Kebebasan berpersatuan jadi pertikaian

Kebebasan berpersatuan jadi pertikaian

parlimen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu pentakrifan beberapa kandungan dalam Draf Rang Undang-Undang (RUU) An­ti Lompat Parti yang bercanggah dengan Perkara 10(3) Per­lembagaan Persekutuan berhubung kebebasan berpersatuan menjadi punca pembentangannya ditangguh.

Definisi pentakrifan berkenaan perlu diperinci kerana ia menimbulkan persoalan lain yang boleh dipertikaikan berhubung frasa ‘lompat’ dalam instrumen perundangan yang akan diwartakan.

Satu sumber memberitahu Mingguan Malaysia, pentakrifan berkenaan umpama mereka yang dipecat daripada parti, adakah dikira melompat jika masuk ke parti lain yang perlu diperhalusi.

“Memang ada konsultasi dibuat, (tetapi) perlu perhalusi beberapa takrif, itu sahaja. Takrif itu umpamanya seperti mereka yang dipecat dari parti, adakah dikira lompat parti jika masuk ke parti lain, jadi itu yang perlu diperhalusi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, RUU (Pindaan) itu bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 10(3) yang berkaitan dengan Per­kara 10(1)(c), iaitu berhubung de­ngan kebebasan berpersatuan.

“Berdasarkan kes Dewan Un­­dangan Negeri Kelantan lawan Nordin Salleh & Anor, yang di­­putuskan oleh Mahkamah Agong Malaysia pada 3 Ap­ril 1992, undang-undang ber­kaitan se­katan lompat parti akan dianggap bercanggah de­ngan Perlembagaan Persekutuan selagi Perkara 10 tidak dipinda bagi membolehkan suatu Akta Lompat Parti digubal dan diluluskan oleh Parlimen.

“Maka atas dasar inilah, jemaah menteri yang bersidang pada 6 April memutuskan Sidang Khas Parlimen pada 11 April perlu bersidang untuk meminda Perkara 10 bagi membolehkan suatu Akta berkaitan Lompat Parti dibentang dan diluluskan oleh Parlimen dalam suatu sidang yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Takiyuddin, jemaah menteri juga secara sebulat suara bersetuju bahawa perkara-perkara berkaitan dengan Lompat Parti dan implikasinya dari segi undang-undang perlu dimasukkan secara lengkap dan terperinci di dalam suatu Akta Parlimen yang khusus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini mengumumkan penangguhan pembenta­ngan RUU Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibuat di Dewan Rakyat, esok .

Ia merupakan penangguhan kali kedua selepas pertama kali dijadualkan untuk dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada 24 Mac lalu.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) menyarankan de­fini­si dan perincian yang lebih je­las perlu dipersetujui bersa­ma terhadap frasa ‘lompat’ da­lam perundangan yang bakal diperkenalkan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ber­kata, perkara itu bagi membolehkan pindaan Perlembagaan (Pindaan) 2022 berkaitan antilompat parti mencapai matlamatnya.

“Satu sesi libat urus berhu­bung cadangan Pindaan RUU Per­­lembagaan (Pindaan) 2022 berkaitan antilompat parti diadakan pada 5 April lalu antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) bersama PN.

“Dalam sesi libat urus tersebut, PN secara keseluruhannya menyokong dan menyambut ba­ik semangat serta matlamat di sebalik cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan ber­kaitan antilompat parti.

“Bagaimanapun, bagi memastikan pindaan perlembagaan tersebut dapat mencapai matlamatnya, definisi dan perincian yang lebih jelas perlu dipersetujui bersama terhadap frasa ‘lompat’ dalam apa juga instrumen perundangan yang diperkenal kerajaan kelak,” katanya dalam satu kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN