KDNKA tahan empat lelaki, rampas pelbagai barangan bernilai RM9.2 juta - Utusan Malaysia

KDNKA tahan empat lelaki, rampas pelbagai barangan bernilai RM9.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat lelaki dan merampas barangan bernilai kira-kira RM9.2 juta dalam empat serbuan membanteras penyeludupan kontraban, bunga api dan hidupan liar di ibu negara dan Perak.

Serbuan bermula Rabu lalu hingga semalam itu dijalankan oleh Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Pengarahnya, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, serbuan pertama menerusi Op Bersepadu Khazanah di sebuah rumah di Setapak di sini pada Rabu lalu telah menahan dua lelaki dan merampas dua ekor burung Murai Batu dianggarkan bernilai RM160,000.

Menurut beliau, dalam operasi itu juga, pasukannya berjaya mengesan sebuah stor yang menyimpan 186 kotak pelbagai jenis bunga api bernilai RM650,000. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Selain itu, pihaknya turut menjalankan Op Kontraban di sebuah premis perindustrian di Teluk Intan, Perak pada Khamis lalu dan menahan dua lelaki,” katanya dalam kenyataan semalam. 

Hazani berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut menemukan 13,133 karton rokok putih serta 3,300 karton rokok kretek dipercayai diseludup masuk bernilai RM6.76 juta.

Beliau berkata,  turut dirampas, wang tunai berjumlah RM103,000 dan tiga kenderaan.

“Semalam, kita turut melakukan serbuan di Tambun serta menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok dengan merampas 3,349 karton rokok putih dan 253 karton rokok kretek pelbagai jenama dianggar bernilai RM1.4 juta.

“Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Hazani berkata, sejak Januari hingga semalam, CPSK dan Pasukan Gerakan Am telah melakukan 42 serbuan melibatkan rampasan berjumlah RM50.3 juta dan menahan 60 individu.

Ujarnya, CPSK yang diwujudkan di peringkat ibu pejabat Jabatan KDNKA merupakan antara penyumbang utama keberhasilan di bawah Op Kontraban, Operasi Bersepadu Khazanah dan operasi lain. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN