IC palsu: 8 warga Filipina dipenjara sehingga 12 bulan - Utusan Malaysia

IC palsu: 8 warga Filipina dipenjara sehingga 12 bulan

SEBAHAGIAN daripada lapan warga Filipina dihadapkan ke Mahkamah Majistret kerana menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Akibat menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain, lapan pendatang asing warga Filipina dipenjara empat hingga 12 bulan bermula semalam oleh Mahkamah Majistret berasingan di sini.

Di hadapan Majistret Sabreena Bakar @ Bahari, tiga tertuduh pertama Adzhar Tadjamon, 30; Alim Auna, 22 dan Jasim Alano, 27, dipenjara selama empat bulan.

Manakala tiga lagi yang dituduh di hadapan Majistret Mohamad Redza Rezali iaitu Asmie Rody,36; Halid Janul Sallani,34, serta Abu Bakar Mausil, 48, masing-masing dikenakan penjara sembilan, enam dan 12 bulan.

Dua yang terakhir dituduh di hadapan Majistret Muhamad Syafiq Sulaiman iaitu Imbong Linsung, 26, dan Abdul Munir Asnan, 30, pula dikenakan penjara selama 12 bulan.

Hukuman tersebut dijatuhkan selepas kesemua mereka mengaku salah terhadap kesalahan tersebut yang dilakukan di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran PPPN 1990 (Pindaan 2007).

Berdasarkan pertuduhan kesemua tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu didapati melakukan kesalahan tersebut ketika ditahan oleh pihak berkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di tiga lokasi berasingan di sini.

Lokasi tersebut adalah Pos Pengawal Indah Water Konsortium Bukit Jelutong, Pos Pengawal Indah Water Sdn Bhd Off Persiaran Perusahaan Seksyen 23 dan Pos Pengawal Dewan Bola Tampar MBSA Jalan Durian 4/1, Seksyen 4.

Terdahulu, JPN dalam satu kenyataan memberitahu berdasarkan maklumat risikan, pihaknya mengadakan operasi menyasarkan pengawal keselamatan di lokasi berkenaan semalam sebelum menahan kesemua tertuduh antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Menurut, Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya, Nooruladzim Ateman, operasi khas itu dijalankan serentak di tiga lokasi berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kesemua 8 lelaki yang ditahan berasal dari Basilan, Filipina yang berusia 22 hingga 48 tahun dan mengaku mendapatkan kad pengenalan dari ejen dengan harga RM250 – RM500.

“Mereka menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain dengan tujuan pengenalan diri semasa bekerja,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN