MESKIPUN berdepan cabaran amat besar sepanjang menerajui Kerajaan Negeri Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad mewariskan pentadbiran yang amat kukuh dan stabil untuk diteruskan penggantinya termasuk dari segi kewangan.
Beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-18 pada Jumaat, 28 Februari 2020 iaitu hanya 19 hari sebelum Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama akibat Covid-19.
Tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu apatah lagi pintu sempadan antarabangsa turut ditutup.
Kali pertama membentangkan Belanjawan Johor 2021 pada 26 November 2020, Hasni sedar dengan keadaan getir Johor ketika itu sehingga mengetengahkan tema Berdaya Tahan Demi Kemakmuran menandakan kerajaan negeri perlu bertahan dengan sumber yang ada.
IMPAK COVID-19
Beliau turut mengumumkan tiga Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) yang keseluruhannya mencecah lebih setengah bilion ringgit bagi memastikan kelangsungan rakyat, peniaga dan pelbagai pihak lain di Johor dapat terus bertahan mendepani impak Covid-19.
Dengan pendapatan hasil kerajaan negeri yang berkurang termasuk kerana faktor pengecualian cukai, sewa dan pelbagai inisiatif lain di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika itu, sudah tentu Hasni dan barisan Exco serta pengurusan kerajaan perlu bijak membelanjakan sumber yang ada.
Namun, semua itu dibuktikan Hasni dan rakan-rakannya yang menguruskan kerajaan Johor dengan baik sehinggakan Menteri Besar Johor yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengakui Hasni mewariskan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh.
Onn Hafiz ketika mengumumkan Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ) iaitu pengumuman sulungnya sebagai Menteri Besar menyatakan kedudukan ekonomi dan kewangan negeri cukup berdaya saing.
Bantuan itu menyediakan RM144.36 juta lagi yang sudah pastinya sumber kewangan itu ditinggalkan kerajaan pimpinan Hasni bagi memanfaatkan seramai 3.69 juta rakyat Johor.
Malah, Hasni juga dianggap watak yang penting terhadap usaha membuka semula sempadan Johor-Singapura pada 1 April lalu termasuk pela1ksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat akhir tahun lalu.
Tanpa usaha beliau dan pelbagai pihak lain, agak mustahil perkara itu direalisasikan kerana Hasni amat pro-aktif dan memahami kesukaran ekonomi Johor selagi pintu sempadan antarabangasa ditutup. – UTUSAN










