Fasa endemik: Kementerian Kesihatan tumpu penyakit NCD 

Fasa endemik: Kementerian Kesihatan tumpu penyakit NCD 

KHAIRY Jamaluddin (tiga dari kanan) bersama buku Laporan Peka B40 Tahun 2021 pada program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (Peka B40) di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peralihan fasa daripada pandemik Covid-19 ke endemik membolehkan Kementerian Kesihatan untuk memberi tumpuan semula kepada penyakit tidak berjangkit (NCD) yang juga epidemik di negara ini. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun pandemik Covid-19 merupakan kecemasan dari segi kesihatan awam, namun yang lebih berjangka panjang ialah epidemik NCD. 

Katanya, hal ini kerana penyakit NCD tidak memperlihatkan gejala dalam tempoh masa terdekat berbanding Covid-19 iaitu dalam masa tiga atau empat hari. 

“Kalau kita mengidap NCD, gejala kemudaratan itu mungkin hanya dapat dilihat beberapa tahun akan datang. NCD ini ibarat bom jangka dan kita tak tahu ia ada tetapi satu hari nanti ia meletupt,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Tahunan Peka B40 Tahun 2021 di sini hari ini. 

Dalam memberi tumpuan kepada penyakit NCD itu, beliau berkata, perlu dipastikan inisiatif saringan secara besar-besaran dapat dilaksanakan malah, kementerian sendiri mempunyai kemudahan percuma kepada rakyat. 

“Bayangkan hanya setengah juta daripada hampir enam juta yang layak memanfaatkan saringan kesihatan ini. Ia benda baik, percuma dan bukan susah kalau nak usahakan supaya dapat saringan kesihatan melalui PeKa B40 serta semua saringan kesihatan yang kerajaan ada. 

“Selain itu, (saringan kesihatan) badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat dimanfaatkan sepenuhnya agar rakyat dapat mengetahui tahap kesihatan mereka,” ujarnya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Protecthealth Corporation Sdn. Bhd., Datuk Dr. Anas Alam Faizli berkata, sehingga 31 Disember tahun lalu, seramai 553,311 penerima manfaat Peka B40 telah disaring manakala 101,673 disaring pada tahun 2021. 

Daripada jumlah ini seramai 186,610 orang telah dikesan mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit NCD dan pada tahun lalu, seramai 37,253 (36.7 peratus) orang telah dikesan mempunyai sekurang-kurangnya satu NCD.

“Tiga penyakit NCD tertinggi dalam kalangan kumpulan B40 di Malaysia yang telah disaring adalah darah tinggi (29.8 peratus), kolestrol tinggi (29.2 peratus) dan diabetes (19.8 peratus),” katanya. 

Bagi manfaat Bantuan Alat Perubatan sehingga 31 Disember lalu, beliau berkata, sebanyak 30,864 permohonan telah diluluskan untuk alatan pembedahan dan alatan bukan pembedahan. 

 “Intraocular Lense merekodkan permohonan tertinggi iaitu 41.7 peratus daripada jumlah permohonan, diikuti oleh bantuan alat pendengaran (22.5 peratus) dan stent jantung (6.7 peratus). 

  “Bagi manfaat Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser sehingga 31 Disember lalu, sebanyak 4,721 permohonan telah diluluskan. Tiga jenis kanser tertinggi dikesan sepanjang tahun 2021 iaitu kanser payudara (28.7 peratus) diikuti digestive system cancer group (20.8 peratus) dan Ear, Nose and Throat (ENT) cancer group (13.3 peratus),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya