Diumpan hadiah nombor ekor, suami isteri rugi RM30,000 - Utusan Malaysia

Diumpan hadiah nombor ekor, suami isteri rugi RM30,000

AIBEE ABD. GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sepasang suami isteri diperdaya sehingga kerugian sebanyak RM35,000 selepas diumpan dengan hadiah wang tunai perjudian nombor ekor bernilai RM500,000 oleh seorang lelaki dalam kejadian di Bahau, Jempol baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd. Ghani berkata, kejadian berkenaan berlaku ketika pasangan suami isteri berusia lingkungan 60-an berkenaan berada di kawasan parkir di Bahau pada 28 April lalu.

Mereka kemudian dihampiri seorang lelaki dengan loghat Indonesia yang kemudian menunjukkan kepada pasangan suami isteri tersebut resit nombor ekor dan memaklumkan ia melibatkan wang hadiah sebanyak RM500,000.

“Pasangan berkenaan percaya dan telah diperdaya untuk melakukan pengeluaran wang bagi proses mendapatkan wang hadiah tersebut. Mereka telah menaiki kenderaan lelaki tersebut dengan pergi ke sebuah bank di Kuala Pilah untuk pengeluaran wang sebanyak RM25,000.

“Wang tersebut diserah terus kepada lelaki berkenaan di dalam kenderaan. Mangsa di bawa sekali lagi ke bank untuk pengeluaran wang tunai sebanyak RM5,000 lagi sebelum menyerahkan wang juga di dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aibee berkata, pasangan berkenaan kemudiannya dibawa kembali ke sebuah bank di Bahau dan ditinggalkan di dalam bank berkenaan.

Menurutnya, pasangan berkenaan berasa tertipu apabila sebaik keluar dari bank, kelibat lelaki tersebut sudah tidak kelihatan.

“Mangsa telah membuat laporan polis di Bahau bagi tindakan selanjutnya. Kami harap agar orang ramai berhati-hati dengan taktik seperti ini memandangkan hadiah wang tunai berkenaan adalah palsu,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN