Buktikan ambil duit, saya tidak akan lari – Khairy

Buktikan ambil duit, saya tidak akan lari – Khairy

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sedia disiasat jika mana-mana pihak dapat membuktikan beliau men­dapat keuntungan peribadi daripada pembelian vaksin ketika menjadi Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Khairy menegaskan, beliau telah memberi kete­rangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang pengerusinya daripada pembangkang dan ahli-ahlinya daripada semua parti termasuk pembangkang.

“Laporan PAC kata, memang program vaksinasi termasuklah perolehan itu adalah wajar dan adil termasuklah harga yang te­lah dibayar. Jawatankuasa boleh buat rumusan itu setelah saya tunjuk segala dokumen bahawa pengurusan dan juga perolehan vaksin kita dibuat dengan baik dan teratur.

“Saya tak ada masalah, siapa-siapa pun boleh bagi tuduhan. Tetapi mestilah ada bukti. Kalau ada bukti sila buat siasatan,” katanya dalam pertemuan dengan akhbar ini Khamis lalu.

Laporan yang didedahkan kerajaan sebelum ini menyatakan peruntukan bagi PICK adalah sebanyak RM5 bilion termasuk dana bagi pembe­lian vaksin sebanyak RM3.5 bilion.

Khairy berkata, beliau juga masih menunggu laporan PAC mengenai MySejahtera yang dibangunkan syarikat swasta, KPISoft (M) Sdn. Bhd. sekiranya terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Mungkin ada sedikit sebanyak kelemahan dari segi perolehan. Tak apalah kita tambah baik. Tetapi dari sudut kesahihan, pemilikan dan keselamatan data, saya telah jelaskan kepada PAC bahawa memang tidak ada sesiapa pun yang boleh menyalahgunakan data dalam MySejahtera,” katanya.

Tambah Khairy, beliau tidak akan lari dan menyalahkan orang lain daripada memikul tanggungjawab terhadap pelbagai isu negatif yang dikaitkan dengan aplikasi itu walaupun kelemahan terbabit berpunca daripada menteri dan kerajaan terdahulu.

“Saya menteri, saya bukan kanak-kanak. Jadi, saya mestilah bertanggungjawab ke atas segala tugas saya sama ada perkara itu berlaku di zaman saya ataupun sebelum zaman saya.

“Saya bukan jenis orang yang cuci tangan daripada apa yang sedang berlaku dalam kementerian saya. Saya seorang menteri yang bertanggungjawab dan bukan kata tiada kaitan dengan saya.

“Saya tak kisahlah tempias kepada sayakah atau tidak. Saya selalu begitu. Saya di sini untuk memastikan bahawa perkara ini dapat diselesaikan dari segi (wujud) perjanjian yang jelas (dengan KPISoft),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN