SHAH ALAM: Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah walaupun semakin mengecil selepas dinyahwartakan sebanyak 21 kali, masih menyimpan khazanah alam unik seperti 19 jenis haiwan dan lebih 400 tumbuhan herba.
Penemuan-penemuan tersebut berjaya dirakamkan penyelidik daripada Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) yang menjalankan penyelidikan khusus terhadap flora dan fauna di situ menggunakan kamera khas bagi mengesan hidupan liar di sana.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penyelidiknya, Dr. Lim Teck Wyn berkata, usaha yang dilakukan bersama Pusat Penyelidikan dan Konservasi Hutan Hujan Tropika (TRCRC) itu menemukan sebanyak 446 spesies tumbuhan yang turut menjadi sumber rantaian makanan dan habitat kepada hidupan lain dalam hutan berkenaan.
Katanya, antara tumbuhan berharga yang mempunyai nilai tinggi di pasaran ditemukan ialah tongkat ali, gaharu, tualang, kempas dan jiring.
“Terdapat haiwan-haiwan dilindungi dan sukar ditemui menjadi penghuni di sini seperti beruk, kera, kucing batu, musang jebat, pulut dan akar, anjing liar, tupai kencong, burung bubu, ketupu dan punai, ayam hutan, biawak air dan ular tikus.
“Memang berlaku pembersihan sebahagian kawasan hutan di sana, tetapi ada tempat yang tumbuhannya pulih sendiri menyebabkan haiwan-haiwan ini kekal wujud dan menjadikan hutan berkenaan sebagai habitat mereka.
“Kami pun baru habis kajian flora di sana, ada lebih daripada 400 jenis pokok dan herba di kawasan berkenaan, termasuk tumbuhan makanan untuk haiwan. Haiwan di sana boleh dikira wujud satu populasi di sana yang masih hidup dalam Hutan Bukit Cerakah,” katanya.
Tambah Teck Wyn, terdapat enam lokasi kamera diletakkan di rimba ini termasuk di bahagian utara, berhampiran Kayangan Heights, Empangan Subang dan Taman Botani Shah Alam.
Bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan terhadap perbuatan pemburu yang memasang perangkap babi hutan sehingga menyebabkan kecederaan pada haiwan lain.
“Kami memang risau juga dengan kewujudan pemburu di sini. Terdapat kesan jerat pada kaki seekor tapir yang cedera akibat terkena perangkap.
“Terdapat kamera dicuri pemburu, mungkin kerana takut tindakan mereka sambil memegang senapang dirakam. Namun kamera lain terus dibiarkan di kawasan-kawasan berkenaan untuk pemantauan dan penyelidikan,” jelasnya.
Mingguan Malaysia pada 19 September 2021 melaporkan keluasan Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah semakin mengecil apabila dalam tempoh 96 tahun sejak 1924 hingga 2020 mengalami penyahwartaan sebanyak 21 kali membabitkan kawasan seluas 12,892.48 hektar.
Mengikut Warta Kerajaan Selangor, penyahwartaan terluas di rekodkan pada 1990 melibatkan tanah seluas 4.5 hektar merangkumi kawasan Felda Bukit Cerakah dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.
Sementara itu, Teck Wyn berhasrat membawa isu pembangunan di hutan tersebut ke mahkamah bagi menuntut bukti berlaku penyahwartaan terhadap sebahagian kawasannya.
Langkah tersebut diambil selepas percaya pembangunan tersebut masih berlaku.
Beliau berkata, sehingga kini dokumen warta masih belum diterbitkan, justeru wujud keraguan terhadap status kawasan hutan berkenaan yang rancak dengan kerja-kerja pembersihan bagi pembinaan kawasan perumahan.
“Ketika ini memang langsung tiada maklumat semasa dalam memastikan kawasan hutan berkenaan dikekalkan termasuk bukti mengatakan sebahagiannya sudah dinyahwartakan sebagai hutan simpan.
“Saya memang tidak faham, kalau sudah diwartakan keluar, tetapi belum diterbitkan, bagaimana proses seperti itu berlaku. Sepatutnya ikut undang-undang, warta itu perlu diterbitkan sebagai dokumen kerajaan. Jadi, kami terpaksa pergi ke mahkamah,” katanya.
Warta kerajaan negeri tersebut turut merekodkan hutan berkenaan memberi keistimewaan buat penduduk Orang Asli untuk tinggal dalam lingkungan lima kilometer dari kawasan HSKBC.
Sehingga kini, pembersihan membabitkan kawasan seluas 202.34 hektar masih berjalan termasuk berhampiran persimpangan Kampung Bukit Cherakah dan Jalan Paip yang dibersihkan dipercayai untuk dijadikan kawasan perindustrian.
Dalam pada itu, Teck Wyn memaklumkan, SACF kini sedang mendapatkan sokongan daripada orang ramai termasuk pendanaan awam bagi membolehkan tuntutan terhadap pemeliharaan HSKBC dapat dibawa ke mahkamah. – UTUSAN










