PETALING JAYA: Bakal jemaah haji perlu bersedia menerima kenaikan kos menunaikan Rukun Islam kelima itu pada tahun ini berikutan keputusan kerajaan Arab Saudi menaikkan cukai dan caj perkhidmatan baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, di sebalik kegembiraan boleh menunaikan ibadah tersebut, faktor-faktor di luar kawalan tentunya akan memberikan impak kos kepada bakal jemaah.
“Kita harap semua pihak terutama bakal-bakal haji memahami akan ada impak kenaikan ini berbanding kos pada 2019 iaitu setelah tiga tahun berlalu.
“Semua bakal jemaah haji dinasihatkan supaya bersabar dan sebarang perkembangan mengenainya akan dimaklumkan oleh pihak kami sebaik sahaja menerima maklumat rasmi daripada kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Sementara itu, Amrin berkata, walaupun kerajaan Arab Saudi mengumumkan sejuta jemaah haji melakukan ibadah itu, namun Malaysia masih belum boleh menarik nafas lega kerana jumlah kuota masih belum ditetapkan secara rasmi.
“Tabung Haji masih menunggu keputusan dan nota rasmi daripada kerajaan Arab Saudi, berkaitan dengan jumlah kuota dan syarat-syarat pemilihan jemaah haji serta prosedur operasi standard (SOP).
“Merujuk kepada pengumuman tersebut, jemaah haji luar Arab Saudi dikehendaki mengemukakan keputusan ujian PCR Covid-19 negatif yang dilakukan dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas ke Arab Saudi,” ujarnya. – UTUSAN










