Bahasa Melayu bukan milik satu-satu negara – Rais

Bahasa Melayu bukan milik satu-satu negara – Rais

wakil rakyat
RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN seharusnya diberikan pertimbangan sewajarnya oleh semua pihak termasuk Indonesia.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, bahasa itu adalah asas etnik serantau berstatus lingua franca, malah bahasa Indonesia yang digunakan 250 juta penduduknya didasari bahasa Melayu.

“Bahasa Indonesia ialah bahasa geopolitik nasional Indonesia dilahirkan pada 1945. Sumpah Pemuda 1945 dan terdahulu hujah M. Yamin di Kongres 1928 dan 1938 harus dirujuk sebagai realiti kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa wilayah lantaran asal-usulnya sebagai bahasa Tenggara Asia.

“Hujah meletakkan bahasa Indonesia sebagai bahasa nasional Indonesia memang difahami. Cuma, harus difahami juga bahawa kulitnya bahasa Indonesia tetapi urat, tulang dan darah dagingnya ialah bahasa Melayu yang juga berupa bahasa asas sosio budaya tujuh negara ASEAN iaitu Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, minorIti Kemboja dan Selatan Filipina,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menteri Pendidikan Indonesia, Nadiem Makarim sebelum ini menolak cadangan yang diutarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meskipun mendapat persetujuan daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika mengadakan lawatan kerja minggu lalu.

Pada masa sama, Rais berpandangan, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia, Singapura dan Brunei sudah cukup sebagai kriteria bahasa majmuk serantau sekalipun Nadiem tidak mahu menerima istilah bahasa Melayu secara rasmi dalam konotasi bahasa Indonesia.

“Keluarkan semua perkataan Melayu dari bahasa Indonesia, apa yang tinggal? Hanya kulit kendur dan batang tubuh nasional.

“Inilah sebabnya M. Yamin, pejuang kemerdekaan Indonesia menjulangkan pada tahun 1928 untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa nasional Indonesia.

Walaupun tesisnya dicicirkan namun hujahnya tetap segar iaitu bahasa Indonesia tulang belakangnya tetap bahasa Melayu,” katanya.

Beliau turut memberi contoh bagaimana bahasa Ing­geris yang digunakan di United Kingdom tetap bahasa yang sama digunakan di Amerika, Australia, New Zealand dan negara-negara Komanwel serta di Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Bahasa Inggeris bersifat etnik dan sosiobudaya bagi orang Inggeris tetapi negara-negara lain tetap menganggap bahasa itu sebagai bahasa utama masing-masing tanpa menggunakan nama geopolitik United Kingdom atau Great Britain,” katanya.

Oleh itu, beliau berpendapat bahasa Indonesia tidak sesuai dari sudut tata kedaulatan dan nomenklatur kenegaraan di kalangan negara anggota ASEAN.

“Ini disebabkan sebutan bahasa Indonesia dalam pembahasaan komunikasi ASEAN memberi konotasi geopolitik.

“Anggota ASEAN tidak akan senang menggunakan istilah itu lantaran bahasa Indonesia boleh memberi erti kedaulatan negatif kepada sesuatu negara,” katanya.

Sebaliknya, kata Rais, nama bahasa Melayu tidak menimbulkan konflik nomenklatur kenegaraan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN