SELURUH umat manusia hari ini sedang dilanda dengan ujian yang sangat mencabar. Situasi terkini dunia hari ini sedang berhadapan dengan pelbagai ketidaktentuan.
Pelbagai konflik yang berlaku, ditambah pula dengan peperangan di Timur Tengah dan Asia Barat bukan sahaja meragut nyawa dan memusnahkan harta benda, bahkan turut menjejaskan kestabilan ekonomi dunia seluruhnya.
Pergolakan mutakhir ini akhirnya memberi kesan yang besar kepada rantaian bekalan tenaga, perdagangan antarabangsa serta hubungan ekonomi antara negara-negara di seluruh dunia.
Malaysia juga tidak terkecuali apabila berdepan kenaikan kos pengeluaran dan gangguan bekalan akibat sekatan mahupun perubahan dasar dalam perdagangan global.
Walaupun kesan yang dialami oleh negara kita masih lagi terkawal, namun umat Islam tidak boleh alpa dan terleka dengan nikmat yang ada.

Umat Islam harus sentiasa bersedia dengan segala kemampuan yang ada untuk menghadapi sebarang kemungkinan, sama ada kesan secara langsung mahupun tidak langsung daripada peperangan tersebut.
Justeru, prinsip qanaah iaitu merasa cukup dengan apa yang dikurniakan, mesti difahami sebaiknya dan diamalkan dalam kehidupan agar kita tidak dikuasai oleh keinginan yang tidak berkesudahan.
Umat Islam tidak seharusnya terikut dengan budaya fear of missing out (FOMO) yang akhirnya akan menyebabkan manusia terjebak dalam budaya membazir pada barang bukan keperluan, hanya sekadar ingin mengikuti trend semasa.
Realitinya, sebahagian besar negara-negara pengeluar sudah mula mengehadkan bekalan bagi memenuhi keperluan domestik.
Dalam masa yang sama, gangguan akibat kesan peperangan serta permintaan berterusan terhadap komoditi utama seperti minyak dan gas telah menyebabkan harga meningkat dan memberi kesan kepada rantaian ekonomi global.
Kesan ini akhirnya dirasai oleh masyarakat apabila harga barangan terus meningkat, sedangkan kuasa beli semakin merosot.
Lebih malang lagi apabila ada sebahagian daripada kita yang masih leka berbelanja pada perkara yang tidak berfaedah, hanya kerana tidak mahu ketinggalan dalam mengikuti arus trend semasa yang tiada penghujungnya.
Sekiranya keadaan ini berterusan tanpa diimbangi dengan prinsip qanaah, besar kemungkinan pasti akan ada yang berdepan tekanan hidup akibat kuasa beli yang berkurang, ditambah dengan pembaziran dan beban kewangan yang semakin menekan.
Dalam menghadapi situasi yang genting sebegini, seluruh umat manusia perlu bermuhasabah diri serta mengikut panduan agama dalam menjalani kehidupan yang serba mencabar ini.
Saidina Ali pernah menjelaskan hakikat ketakwaan melalui kata-katanya yang masyhur, iaitu “Takut kepada Allah SWT Yang Maha Agung, beramal dengan petunjuk wahyu, berasa cukup dengan yang sedikit dan bersedia untuk menghadapi hari perpisahan (kematian).”
Antara ciri ketakwaan dinyatakan di sini adalah sentiasa merasa cukup dengan yang sedikit. Pastinya orang yang merasa cukup akan sentiasa bersyukur kepadaNya.
Sebaliknya, orang yang sentiasa menurut dan tunduk pada hawa nafsu tidak akan pernah puas walaupun memiliki harta yang banyak. Kita perlu sedar bahawa ajaran Islam menekankan prinsip qanaah ini dalam semua keadaan dan aspek kehidupan.
Orang yang mengamalkan qanaah adalah mereka yang gaya hidupnya seimbang, dapat menunaikan ibadah dengan tenang dan mencari rezeki secara halal tanpa terjerumus kepada salah laku dalam tindakan dan juga kemaksiatan.
Sebaliknya, bagi manusia yang lalai daripada prinsip ini akan terus mengejar kehendak nafsu yang tidak berkesudahan.
Segalanya berkiblatkan kepuasan diri dan keinginan yang memuncak untuk sentiasa selari dengan trend semasa, sehinggakan realiti kehidupan semasa yang semakin menekan tidak diendahkan.
Akibatnya, wujud perbelanjaan yang berlebihan, komitmen yang tidak perlu dan gaya hidup mewah yang membazir dijadikan keutamaan dalam kehidupan.
Malah lebih membimbangkan, ada yang sanggup menyeleweng, melakukan rasuah dan salah guna kuasa semata-mata untuk memenuhi hawa nafsu. Alangkah ruginya manusia yang sering terleka dan terpedaya dengan tipu daya nafsu dan fatamorgana dunia ini.
Prinsip Islam telah lama menggariskan soal keperluan hidup perlu ditentukan mengikut keutamaan. Ada tahap Dharuriyyat, iaitu keperluan asas yang wajib dipenuhi; Hajiyyat, iaitu perkara yang menyempurnakan hidup manusia, dan Tahsiniyyat, iaitu perkara yang sekadar untuk memperelokkan kehidupan sedia ada.
Namun, apabila kita meneliti gaya hidup manusia masa kini, maka timbul persoalan sebenarnya berapa banyak perbelanjaan kita untuk keperluan dan berapa banyak yang telah dibelanjakan sekadar memenuhi kehendak dan keselesaan semata-mata?
Daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda, “Jikalau seseorang anak Adam mempunyai dua lembah emas, nescaya dia akan menginginkan lembah ketiga dan tidak akan diisi perut anak Adam kecuali tanah (setelah kematiannya). Dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat.” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menegaskan kepada kita bahawa manusia secara semula jadi sukar merasa puas jika menurut kehendak dan tuntutan nafsu. Semakin diturut semakin mengarut.
Oleh itu, sebagai penyelesaiannya Islam mengajar kita mengambil dunia sekadarnya sebagai bekalan menuju akhirat, bukannya menurut hawa nafsu yang tidak akan pernah puas.
Ajaran Islam juga tidak pernah menghalang umatnya untuk berusaha menjadi kaya, menguasai ekonomi dan terus maju, selagi segala usaha dilakukan secara halal dan tidak membawa kepada pembaziran atau sikap tamak yang menghilangkan keberkatan rezeki Allah SWT.
Selari dengan prinsip qanaah, Islam tidak pernah mengajar umatnya hidup tanpa perancangan bahkan Rasulullah SAW sendiri memberikan teladan dalam mengurus kehidupan keluarganya.
Daripada Saidina Umar RA, beliau mengatakan, “Rasulullah SAW menjual hasil kebun kurma Bani Al-Nadhir, dan Baginda menyimpan untuk ahli keluarganya makanan (keperluan) bagi setahun.” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan bahawa Baginda SAW sendiri menyimpan bekalan makanan untuk keluarganya bagi tempoh setahun.
Perbuatan ini bukan bermaksud kurangnya tawakal, tetapi Baginda SAW mengajar kita supaya berikhtiar membuat perancangan masa hadapan dan persediaan ketika senang sebelum datangnya waktu-waktu sukar dalam kehidupan.
Dalam mengharungi kehidupan di dunia yang tidak menentu hari ini, prinsip qanaah menjadi sangat relevan.
Ia menjadi asas kepada sikap berjimat cermat khususnya dalam menguruskan harta dan perbelanjaan dengan bijak di samping menyimpan untuk keperluan masa hadapan dan membuat perancangan sewajarnya.
Dengan cara ini, insya-Allah kita tidak hanya melindungi diri dan keluarga daripada kesan ketidaktentuan ekonomi dunia, tetapi juga menunaikan amanah sebagai hamba Allah SWT dalam menguruskan rezeki dan nikmat kurniaanNya. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd Ashrof Zaki Yaakob ialah pensyarah di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.










