MELAKA: Sambutan Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri tahun ini paling suram buat Yusriati Mohd. Yunos, balu bekas pemain bola sepak Melaka United (MU), Allahyarham Mohd. Azizan Baba yang meninggal dunia, minggu lalu.
Lebih memilukan, kata Yusriati, arwah suami ada memberitahu bahawa, dia mahu membeli lebih awal pakaian lapan orang anaknya untuk menyambut Syawal.
“Arwah berpesan agar mereka berdua hanya duduk di rumah dan lepaskan anak-anak beraya ke rumah bapa serta mak saudara yang lain.
“Tahun lepas kami tidak beraya sangat disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan rentas negeri dikuatkuasakan.
“Namun sambutan Aidilfitri tahun ini, barulah kami rancang untuk berhari raya tapi kita merancang Allah menentukan. Apabila saya hilang suami buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Bachang di sini.
Pada 22 Mac lalu, Mohd. Azizan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.
Allahyarham disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan kira-kira pukul 8.05 pagi kerana masalah jantung.
Dalam pada itu, Yusriati menambah, dia kini memikul tanggungjawab membesarkan lapan orang anak berusia antara dua hingga 15 tahun, dibantu ibunya.
Dia yang bekerja sebagai kerani di sebuah firma guaman di Malim di sini berkata, tahun ini mereka hanya menyambut Aidilfitri secara sederhana.
“Memang tugas besar buat saya sebagai ibu dan bapa untuk menjaga dan mendidik anak seramai lapan orang.
“Anak berusia empat tahun setiap hari bertanyakan, ke mana bapanya pergi, tidak nampak.
“Saya terpaksa berikan baju dan bantal arwah untuk anak peluk serta mencium bau sebelum tidur,” ujarnya sebak. –UTUSAN ONLINE










