Ambrin ada kuasa penuh sedia laporan audit 1MDB

Ambrin ada kuasa penuh sedia laporan audit 1MDB

MADINAH MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mempunyai kuasa penuh dalam penyediaan laporan audit syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tan Sri Dr. Madinah Moha­mad yang mengambil alih jawatan tersebut selepas Ambrin bersara turut bersetuju dengan cadangan peguam bela, Datuk S. Sivananthan bahawa Ambrin boleh mengguna pakai budi bicaranya sepenuhnya mengikut kehendaknya.

Sivananthan: Setuju atau tidak bahawa pasukan audit tidak boleh mengarahkan juruaudit untuk memadamkan apa-apa di dalam laporan?
Madinah: Setuju.

Sivananthan: Setuju atau tidak bahawa pasukan audit hanya boleh mencadangkan apa perkara yang boleh dimasukkan atau dipadamkan dalam sesuatu laporan.
Madinah: Setuju.

Sivananthan: Setuju atau tidak bahawa pada penghujung harinya, adalah bergantung kepada budi bicara juruaudit untuk memasukkan atau memadamkan sesuatu di dalam laporan?
Madinah: Setuju.

AMBRIN BUANG

Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata demikian ketika disoal balas oleh Sivananthan yang mewakili bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dalam perbicaraan kes meminda laporan akhir pengauditan 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Madinah dilantik sebagai Ke­tua Audit Negara pada 2017 dan memegang jawatan tersebut sehingga 2019

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan tindakan terhadap beliau.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Selain itu, Madinah turut bersetuju dengan Sivananthan bahawa Ambrin merupakan individu yang sesuai untuk disoal mengenai perubahan laporan audit tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak mengetahui Ambrin pernah menyatakan laporan audit 1MDB dikawal penuh oleh lelaki terbabit.

Pada 30 Oktober 2018, Ambrin dalam Sidang Anti Rasuah yang dianjurkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M) dan Aram Global Sdn. Bhd. di sebuah hotel di ibu negara menafikan beliau mengubah laporan asal 1MDB.

Beliau bagaimanapun mengaku laporan 1MDB berkenaan adalah miliknya dan mempunyai kawalan sepenuhnya.

Perbicaraan yang didengar oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 20 Mei ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN