PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Menteri Pertahanan, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang meninggal dunia, malam tadi.
Menurut Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar, tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.
“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
“Seri Paduka berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Tengku Ahmad Rithauddeen atau lebih dikenali sebagai Ku Deen menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Jalan Duta di Kuala Lumpur akibat sakit tua.
Selain berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan dari tahun 1987 hingga 1990, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Menteri Fungsi Khas bagi membantu Tun Abdul Razak di Kementerian Luar Negara pada tahun 1973 sebelum menjadi Menteri Maklumat dan Fungsi Khas pada tahun 1974.
Allahyarham juga pernah menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Luar Negara (1975), Menteri Perdagangan dan Industri (1981) sebelum dilantik semula sebagai Menteri Luar Negara (1984) dan Menteri Maklumat (1986).
Allahyarham juga merupakan bekas Pengerusi UMNO negeri Kelantan dan Ahli Majlis Tertinggi Umno serta Allahyarham juga merupakan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang pada 1973 selain bekas Presiden Majlis Pengelola Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNMA).
Allahyarham juga semasa hayatnya pernah dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1992 selain sempat mencurah bakti dalam bidang sukan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 1988. –UTUSAN ONLINE