YADIM sumbang kaki palsu

Yadim sumbang kaki palsu

AHMAD Muhalid Mohd. Zawawi menjalani latihan menggunakan kaki palsunya di Aspo Prosthetics, Sungai Buloh, Selangor. - Gambar Ihsan Yadim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bagaikan satu mimpi, seolah-olah tidak percaya suami boleh berjalan semula selepas dua tahun.

Itu luahan seorang isteri bersama linangan air mata apabila suami, Ahmad Muhalid Mohd. Zawawi memperoleh kaki palsu sumbangan Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim).

Menurut Fatimah Umar, suaminya tidak berdaya untuk mencari rezeki kerana diuji kaki kirinya dijangkiti kuman dan menjalani rawatan.

Pulih daripada rawatan itu, kaki kanan Ahmad Muhalid pula terpaksa dipotong akibat kencing manis.

Sepanjang tempoh itu, Fatimah berkata, dia menggalas tanggungjawab mencari nafkah keluarga dan pada masa sama menjaga suaminya.

Terpaksa berhenti kerja akibat perlu menumpukan perhatian untuk keluarga, Fatimah pernah cuba menjual nasi lemak, namun hanya dapat bertahan seketika.

Ibu kepada lima anak ini bangkit dengan memulakan perniagaan pembersihan yang hingga kini bertahan dan menjadi sumber pendapatan keluarganya.

Di sebalik kejayaan itu, wanita yang menetap di Rawang ini berharap suaminya akan dapat kembali menikmati kehidupan seperti dahulu.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur suami dapat berjalan semula dan berazam mahu kembali mencari rezeki untuk keluarga,” ujarnya baru-baru ini.

Dia ditemui pihak Yadim ketika hadir menyerahkan sumbangan kaki palsu itu di Aspo Prosthetics, Sungai Buloh, Selangor bagi menjalani latihan ringkas membantu menyesuaikan pergerakannya menggunakan kaki tersebut.

Hasrat untuk memperoleh kaki palsu itu dinyatakan Fatimah ketika Yadim menyampaikan sumbangan untuk keluarganya pada Julai tahun lalu.

Hasrat itu kemudian direalisasikan badan dakwah ini menerusi Tabung Dana Infaq Yadim.

Menyifatkan sumbangan ini sebagai satu rahmat besar, Fatimah berkata, anak ketiganya baru baru ini menerima tawaran ke Maktab Rendah Sains Mara Lenggong di Perak.

“Suami cukup teruja dengan khabar gembira ini dan bersungguh untuk menghantar anak kami ke Lenggong nanti.

“Dengan kaki palsu baharu ini mudahlah kami menghantar anak ke sana nanti, ini rezeki berganda untuk kami,” ujarnya yang turut berterima kasih kepada Yadim yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah Bahagian Khidmat Bakti, Abdul Qaiyum Aris.

Menurutnya lagi, perniagaan pembersihan kediaman yang diceburinya juga semakin bertambah baik, malah pihak jabatan Agama Islam Selangor kini juga tidak lagi mengkategorikannya sebagai asnaf. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN