GEORGETOWN: Sektor pengangkutan dan pelancongan Pulau Pinang dijangka menerima rangsangan ketara susulan Program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara antara Singapura dan Pulau Pinang yang bermula 16 Mac ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, Pulau Pinang menyambut baik serta menerima dengan tangan terbuka program VTL antara Pulau Pinang dan Singapura tersebut.
“Program VTL memainkan peranan penting sebelum sektor pelancongan antarabangsa dibuka sepenuhnya dan akan menjadi penanda aras untuk aktiviti pelancongan antarabangsa pada masa depan.
“Saya ingin menggesa semua kakitangan lapangan terbang, syarikat penerbangan dan pelancong supaya mematuhi semua protokol kesihatan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kerajaan Malaysia dan Singapura mencapai persetujuan bersama untuk memperluaskan VTL melalui udara bagi laluan dari Pulau Pinang ke Singapura mulai 16 Mac ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, inisiatif VTL itu akan membolehkan pengembara yang lengkap divaksinasi berkunjung ke Pulau Pinang dan Singapura menggunakan syarikat penerbangan yang mengambil bahagian dalam program tersebut, malah mereka tidak dikenakan kuarantin ketika ketibaan.
Menurut Soon Hin, Pulau Pinang juga telah lama menerapkan kepentingan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pemain industri dan orang ramai dan terbukti menerusi kempen pelancongan bertanggungjawab.
“Kempen ini mendidik semua pihak berkepentingan mengenai peranan masing-masing dalam memastikan aktiviti pelancongan dijalankan dengan teratur,” katanya.
Tambahnya, beliau telah membuat lawatan tapak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang untuk meninjau persediaan dalam memastikan kelancaran VTL di Pulau Pinang.
“Kami akan mengekalkan saluran komunikasi terbuka dengan wakil syarikat penerbangan serta kakitangan lapangan terbang untuk memastikan VTL dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya. –UTUSAN ONLINE










