UTeM sedia 2,000 RTK sempena konvokesyen ke-17 - Utusan Malaysia

UTeM sedia 2,000 RTK sempena konvokesyen ke-17

GHAZALI Omar (kanan) bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar Majlis Konvokesyen Ke-17 UTeM di Durian Tunggal, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyediakan 2,000 kit ujian pantas (RTK) sebagai persediaan awal mencegah penularan Covid-19 semasa Majlis Konvokesyen Ke-17 yang berlangsung bermula 14 hingga 17 Mac depan.

Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof. Ir. Dr. Ghazali Omar berkata, RTK akan digunakan untuk ujian kendiri secara rambang terhadap individu bergejala.

Jelas beliau, para graduan, ibu bapa dan penjaga diwajibkan membuat penilaian kendiri sehari sebelum mereka menghadiri majlis.

“Mereka perlu menunjukkan keputusan RTK kepada polis bantuan di pintu pagar utama. Hanya individu dengan keputusan negatif sahaja dibenarkan masuk.

“Pegawai perubatan turut bersedia di dalam dewan bagi memantau kesihatan hadirin yang hadir. Bagi yang menunjukkan gejala, mereka akan diasingkan dan diberikan pemeriksaan selanjutnya.

“UTeM menghargai jasa dan pengorbanan graduan dan sebab itu kami merasakan pencapaian mereka perlu diraikan bersama ibu bapa atau penjaga. Justeru, kami akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan akan dipatuhi sepanjang majlis berlangsung,” katanya ketika sidang akhbar khas di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal di sini.

Hadir sama TNC Hal Ehwal Pelajar, Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif dan TNC Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim.

Dalam pada itu, Ghazali memaklumkan, seramai 3,275 graduan daripada pelbagai program akan menerima ijazah masing-masing.

Menurutnya, sebanyak 56 peratus daripada keseluruhan graduan 2021 adalah lepasan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

“UTeM juga akan menganugerahkan profesor emeritus kepada Datuk Ismail Hassan iaitu bekas Naib Canselor pertama universiti ini. Selain itu, terdapat juga satu penganugerahan ijazah doktor falsafah secara aegrotat, sementara anumerta diberikan kepada tiga penerima.

“UTeM turut memperkenalkan anugerah khas yang pertama kali diwujudkan iaitu huffaz profesional yang akan diberikan kepada pelajar yang mempunyai ciri-ciri huffaz profesional serta bersifat pemimpin yang berwibawa berorientasikan al-Quran,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN