Usah ‘diskriminasi’ penerima Sinovac

Usah ‘diskriminasi’ penerima Sinovac

Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha menarik lebih ramai golongan yang belum mengambil dos pertama suntikan vaksin Covid-19, sebaliknya bukan memberi tekanan kepada pe­nerima vaksin primer Sinovac.

Tindakan mengenakan pelbagai peraturan seolah-olah mendiskriminasi kumpulan penerima vaksin primer Sinovac yang belum mendapatkan dos penggalak.

Pakar virologi Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, dua suntikan dos vaksin jenis itu mencukupi untuk memberi perlindungan kepada penerimanya.

Katanya, tubuh penerima lengkap Sinovac yang dijangkiti varian Omicron akan bertindak secara semula jadi sebagai dos penggalak.

“Kerajaan sepatutnya tak boleh paksa atau (buatkan) sekatan. Ini bermakna diskriminasi dan sepatutnya benda itu tak berlaku kerana yang penting mesti dua dos. Dos penggalak patut hanya sebagai pilihan.

“Jangkitan sebabkan varian Omicron telah menular dengan meluas, jadi mereka (yang sudah dijangkiti) sudah dapat rangsa­ngan secara neutral, maka tak perlu dipaksa untuk ambil dos penggalak dan seeloknya mereka sudah dijangkiti tak perlu (vaksin) dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Jadi langkah paksa itu menimbulkan tanda tanya kepada rakyat sama ada (dos penggalak sememangnya) perlu atau langkah komersial,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Dr. Sazaly, penekanan ketika ini sepatutnya lebih diberi kepada golongan yang langsung tidak menerima suntikan vaksinasi.

Selain itu, penekanan perlu juga diberi kepada mereka yang mendapatkan suntikan vaksinasi, tetapi tidak mempunyai rangsangan untuk melindungi dirinya daripada jangkitan.

“Golongan muda terutama mereka yang berumur 50 tahun ke bawah tak perlu (mendapatkan dos penggalak) selepas mengambil suntikan dua dos kerana jangkitan wabak yang sudah meluas.

“Bukan sahaja penerima vaksin jenis Sinovac, tetapi keperluan mengambil rangsangan vaksin jenis AstraZeneca dan Pfizer adalah sama kerana mereka tetap terdedah kepada jangkitan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini memberi lanjutan selama sebulan kepada kira-kira 10 juta vaksin Sinovac untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.

Keengganan mengambil dos yang akan meningkatkan imunisasi terhadap pandemik Co vid-19 itu akan menyebabkan kira-kira dua juta rakyat negara ini hilang pelbagai keistimewaan dan kelonggaran.

Sementara itu, aktivis perubatan, Dr. Suhazeli Abdullah berpandangan, semua pihak sedia maklum kadar keberkesanan vaksin itu akan berkurang mengikut masa tanpa mengira jenisnya.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan data dan kajian, keberkesanan vaksin jenis Sinovac lebih rendah lagi berbanding vaksin jenis Pfizer.

“Jadi penerima Sinovac lebih berisiko mendapat jangkitan Covid-19 dari kumpulan vaksin yang lain, sebab itu kita nasihatkan golongan itu mendapatkan dos penggalak. Kita kena ingat dos vaksin bukan ubat kebal, tetapi salah satu kaedah ikhtiar kita,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, penekanan sepatutnya diberi kepada semua rakyat di negara ini termasuk golongan remaja dan kanak-kanak yang masih belum menerima vaksinasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×